KUCHING: Semua muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Sarawak (JMS) telah dibuka semula kepada orang ramai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bermula kelmarin.
Pelawat berumur 13 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan masuk manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun perlu ditemani oleh penjaga masing-masing.
Bagi Muzium di Bahagian Kuching iaitu Muzium Sejarah Semulajadi, Muzium lslam Sarawak, Muzium Sejarah Cina, dan Muzium Tekstil Sarawak waktu operasi adalah Isnin hingga Jumaat jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum (10.00 pagi hingga 4.00 petang).
Waktu operasi bagi Muzium Wilayah iaitu Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice) dan Muzium Wilayah Limbang, adalah pada hari Selasa hingga Jumaat jam 9.00 pagi hingga 4.45 petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum pula jam10.00 pagi hingga 4.00 petang.
Manakala Muzium Petroleum Miri, Muzium Arkeologi Niah dan Muzium Wilayah Baram telah ditutup sementara untuk proses baik pulih dan penyelengaraan.
Ini adalah waktu sesuai untuk berkunjung ke muzium bagi mendalami sejarah dan peradaban di samping mengetahui selok-belok alam semulajadi memandangkan pelajar sekolah rendah dan menengah masih dalam tempoh bercuti akibat pandemik Covid-19.
Menurut Fatin Affiqah, ibu bapa mesti mengambil peluang ini sebaiknya dengan membawa anak-anak mereka ke muzium agar mereka dapat mempelajari sejarah mahupun alam semulajadi.
“Berkunjung ke muzium adalah langkah terbaik memandangkan pelajar sekolah rendah dan menengah masih bercuti.
“Mereka juga akan mendapat ilmu pengetahuan dan tidak hanya menghabiskan masa bermain telefon pintar,” katanya ketika ditemui pemberita di Muzium Sejarah Semulajadi, semalam.
Oleh Nur Ain Otsman