KUCHING: Lebih banyak produk pertanian daripada kawasan Pakan dapat dihantar ke Pusat pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) yang berdekatan dengan adanya rangkaian jalan raya yang telah, sedang dan akan dibina oleh kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, setelah kerja menaik taraf Jalan Ulu Paku, Ulu Gerenjang, Ulu Krian, Ulu Budu nanti, Pakan juga akan mendapat akses yang penting kepada Lapangan Terbang Bebuling di Spaoh.
“Kewujudan lapangan terbang itu nanti akan membolehkan para petani di kawasan Pakan menikmati kemudahan pemasaran terus ke pasaran antarabangsa.
“Saya juga mengalu-alukan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Pakan sebagai bandar baharu moden melalui Pelan Pembangunan Baharu Pakan yang akan menyaksikan pembinaan pejabat kerajaan, perumahan, pusat komersil dan tempat riadah baharu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, dengan siapnya pelan itu nanti, ia pasti akan membantu meningkatkan pembangunan pertanian di Pakan dan kawasan berdekatan.
“Harapan saya sebagai wakil rakyat Pakan agar para petani meneruskan usaha mereka dengan memodenkan cara mereka bertani dan menternak.
“Ini kerana pasaran sekarang memerlukan produk bermutu tinggi yang memerlukan teknologi baharu untuk mengusahakan nya,” jelasnya.
Ujarnya, lokasi Pakan yang terletak didalam kawasan Bukit Sadok Agropolitan dan Betong-Sarikei “Food Basket” adalah amat strategik sekali kerana ia boleh menyumbang kepada industri hiliran sedang giat dipertingkatkan.
“Komuniti peladang, penternak dan nelayan pastinya berterimakasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas peruntukkan yang besar dan pelbagai inisiatif untuk membantu para peladang, penternak dan nelayan di Sarawak.
“Pakan khususnya telah menerima banyak bantuan dan nasihat daripada agensi yang berkaitan dengan pertanian terutamanya Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Sarawak, dan Jabatan Pertanian Sarawak dalam bentuk peruntukkan dan bermacam kursus untuk meningkatkan pengetahuan dan ilmu mereka dalam bidang pertanian moden,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan kepada semua rakyat yang terlibat.
Untuk rekod, tarikh keramat 6 Ogos setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada majlis pelancaran penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 13 Ogos 1973.
Oleh Zarina Abdullah