

BINTULU: Komuniti mualaf perlu diperkasa dengan ilmu pengurusan jenazah supaya mampu menguruskan sendiri urusan fardu kifayah di kawasan masing-masing, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Beliau berkata, usaha itu akan diperkukuh menerusi penganjuran lebih banyak kursus pengurusan jenazah, khususnya di kawasan yang mempunyai ramai saudara baharu.
Menurutnya, kawasan seperti Sebauh, Pandan, Labang dan Tubau antara yang dikenal pasti memerlukan program sedemikian bagi memberi pendedahan kepada komuniti setempat.
“Kita berharap saudara baharu mampu mengendalikan sendiri pengurusan jenazah di tempat masing-masing.
“Pihak Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) akan terus menyokong Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta mana-mana surau atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan kursus seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Pengurusan Jenazah Bahagian Bintulu 2026 di Surau Darussyakirin Kampung Assyakirin di sini, hari ini.
Katanya lagi, kursus anjuran JAIS Bahagian Bintulu dengan kerjasama Surau Darussyakirin Kampung Assyakirin dan LAKIB itu disertai lebih kurang 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti mualaf.
Beliau memberitahu, sambutan yang diterima menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu fardu kifayah semakin meningkat, sekali gus menggalakkan penganjuran program seumpama itu di lebih banyak kawasan.
Oleh Carolyne Utih