
KUALA LUMPUR: MR D.I.Y Group (M) Bhd hari ini melancarkan inisiatif terbaharunya, kempen MANJA Land, ‘Minta Maaf, MR D.I.Y. Terlalu Memanjakan Anda’, dari 9 hingga 11 Mei.
Kempen berkenaan bertujuan menghargai pelanggan dengan menawarkan pengalaman yang lebih istimewa yang melangkaui jenamanya iaitu barangan pada mampu milik dan nilai berpatutan.
MR D.I.Y dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya menganjurkan MANJA Land di MR D.I.Y. PLUS Mid Valley Megamall, dengan mengubah ruang menjadi sebuah tempat bersantai dan sesi memanjakan diri untuk para pelanggan yang mengunjungi kedai itu.
Peruncit barangan pembaikan rumah itu berkata inisiatif berkenaan merupakan satu ‘permohonan maaf’ secara santai sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka dalam menjadikan MR D.I.Y. sebagai destinasi utama untuk pelbagai keperluan rumah pada Harga Sentiasa Rendah.
Ia berkata para pembeli boleh menantikan sesi bengkel, rias kuku, urutan, kudapan dan kopi, manakala zon khas untuk kanak-kanak turut disediakan bagi menghiburkan si kecil.
Naib Presiden Pemasaran Alex Goh berkata jenama itu sentiasa mencari kaedah kreatif untuk menunjukkan penghargaan kepada para pelanggannya.
“Minta Maaf, MR D.I.Y. Terlalu Memanjakan Anda” bukan hanya tentang menawarkan pelbagai barangan keperluan pada Harga Sentiasa Rendah, ia juga tentang meningkatkan keseluruhan pengalaman membeli-belah.
“Dengan MANJA Land, kami ingin setiap pelanggan merasakan diri mereka dihargai, berseronok dan pulang dengan senyuman yang menceriakan hari mereka,” katanya.
Bagi menikmati pengalaman di MANJA Land, pelanggan hanya perlu mengunjungi Kaunter Penebusan MANJA, mengumpul token melalui pembelian atau aktiviti media sosial dan menebus ganjaran yang menarik, kata MR D.I.Y.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen dan MANJA Land, lawati mrdiy.com atau MR.D.I.Y di Facebook, Instagram dan TikTok.— Bernama