SIBU: Sebanyak 30 tong pembakaran disediakan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di empat lokasi khas bagi mengawal aktiviti pembakaran wang kertas sempena kemuncak Pesta Hantu Lapar pada 26 dan 27 Ogos ini, susulan keadaan cuaca kering serta risiko kebakaran yang meningkat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kegunaan Am dan Perkhidmatan Komuniti MPS, Kaunselor Simon Wee berkata, tong berkenaan akan ditempatkan di empat lokasi pembakaran yang ditetapkan bagi memastikan aktiviti berkenaan dapat dijalankan dengan lebih selamat.
“Empat lokasi pembakaran yang ditetapkan ialah di persimpangan Jalan Pahlawan/Jalan Dr Wong Soon Kai, bulatan Jalan Lada/Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Jalan Wawasan berhampiran Kolej Laila Taib (KLT) dan bulatan Jalan Bukit Lima,” jelasnya pada sesi dialog sempena Pesta Hantu Lapar, hari ini.
Beliau berkata, antara lima hingga tujuh tong pembakaran akan ditempatkan di setiap lokasi berkenaan bagi kegunaan orang ramai membakar wang kertas pada hari tersebut.
“Pihak majlis telah menyediakan tong-tong ini sejak tiga tahun lepas bagi kegunaan orang ramai membakar wang kertas semasa Pesta Hantu Lapar. Justeru, saya menggesa orang ramai supaya menggunakan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.
Katanya, aktiviti pembakaran wang kertas di lokasi ditetapkan dijangka bermula sekitar 11.00 malam pada 26 Ogos dan berterusan sehingga tengah malam, dengan aktiviti pembakaran berskala besar dijangka berlaku di persimpangan Jalan Pahlawan/Jalan Dr Wong Soon Kai.
“Saya menggesa orang ramai mengurangkan aktiviti pembakaran sempena Pesta Hantu Lapar tahun ini berikutan keadaan cuaca kering ketika ini dan risiko kebakaran yang semakin meningkat,” ujarnya lagi.
Katanya, MPS tidak dapat mengharamkan sepenuhnya amalan tradisional berkenaan, namun menggalakkan masyarakat menyambut perayaan itu dengan cara lebih selamat dan mesra alam sekitar.
“Disebabkan cuaca kering ketika ini, pihak majlis ingin menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti pembakaran wang kertas di tepi jalan atau bulatan.
“Kita tidak boleh mengharamkan perayaan ini sepenuhnya, oleh itu kita menggesa kerjasama daripada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, MPS akan terus mempromosikan konsep Pesta Hantu Lapar yang lebih mesra alam dengan menggalakkan aktiviti pembakaran dilakukan di lokasi yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Sementara itu, Ketua Zon 4 JBPM Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan sepanjang kemuncak perayaan, khususnya pada malam 26 hingga 27 Ogos.
“Kita akan menjalankan pemantauan dan memberi tumpuan kepada empat lokasi yang ditetapkan, terutama kawasan yang dijangka mempunyai aktiviti pembakaran berskala besar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang melakukan pembakaran supaya memastikan api dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan lokasi, selain membersihkan abu, kotak dan bahan lain yang ditinggalkan.
Sesi dialog tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kegunaan Am dan Perkhidmatan Komuniti MPS, Kaunselor Augustine Merikan.
Turut hadir wakil tokong Cina, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Oleh Akun Giman



