
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bakal mempunyai bangunan sendiri apabila Projek Pembangunan Semula Bukit Assek dijangka bermula pada suku terakhir tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata tapak bangunan baharu itu akan terletak dalam kawasan projek berkenaan, yang turut mempunyai potensi dibangunkan berhampiran tebing sungai.
“Saya akan berbincang dengan Pengerusi MPS, Clarence Ting, untuk melihat tapak yang paling sesuai dan sedia. Kemudian kita akan kemukakan cadangan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk kelulusan.
“Ini kerana Pihak Berkuasa Perancangan Negeri berada di bawah bidang kuasa Premier. Kita mahu projek ini dilaksanakan segera dan disiapkan dalam penggal ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MPS di Wisma Sanyan di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan keperluan sesebuah pihak berkuasa tempatan memiliki bangunan sendiri agar mampu berfungsi secara lebih berwibawa dan efisien.
“Apa bentuk autoriti yang dimiliki jika masih beroperasi dalam bangunan orang lain? Pejabat bukan sekadar ruang kerja, ia adalah ruang awam lengkap dengan pelbagai kemudahan,” katanya.
Merujuk kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), beliau berkata konsep pejabat majlis tanpa pagar membolehkan orang ramai menikmati suasana persekitaran secara santai dan mesra komuniti.
“Seperti di MBKS, terdapat auditorium yang boleh digunakan oleh orang ramai. Ketika ini, orang hanya datang ke pejabat majlis untuk bayar bil. Saya mahu mereka berasa bangga menggunakan kemudahan, dan berkata: ‘Ini bandar saya’,” katanya.
Pada majlis sama, Clarence Ting Ing Horh dilantik semula sebagai Pengerusi MPS manakala Kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Datuk Roseley turut dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi.
Terdahulu, Dr Sim turut merasmikan majlis Angkat Sumpah Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), menyaksikan Sempurai Petrus Ngelai dilantik semula sebagai pengerusi dan Kaunselor Wong Ching Yong sebagai timbalannya.
Oleh Tarani Lanting