MPP pantau longkang tersumbat, isu pembuangan sampah haram

Facebook
WhatsApp
GERALD Goh bersama pegawai MPP meninjau keadaan sistem perparitan di kawasan kedai Desa Wira dan Carina Estate, selain memeriksa isu pembuangan sampah secara haram di Lorong 8A Dogan. Foto MPP

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menjalankan tinjauan dan pemeriksaan di kawasan kedai Desa Wira dan Carina Estate bagi menilai keadaan sistem perparitan, khususnya di lokasi yang mengalami masalah longkang tersumbat.

Tinjauan bersama Ahli Majlis MPP, Gerald Goh, itu turut diteruskan ke Lorong 8A Dogan susulan laporan berhubung kegiatan pembuangan sampah secara haram di kawasan berkenaan.

TINJAU… Ahli Majlis MPP Gerald Goh meninjau keadaan longkang serta lokasi yang dilaporkan menjadi tempat pembuangan sampah haram di kawasan Padawan. Foto MPP

Gerald Goh mengarahkan pegawai MPP mengambil tindakan susulan yang sewajarnya dengan segera bagi menangani isu yang dikenal pasti sepanjang pemeriksaan berkenaan.

MPP turut menyeru orang ramai supaya membuang sampah secara bertanggungjawab dan bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran bagi memastikan kawasan Padawan kekal bersih, hijau dan selesa untuk didiami.