KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan pemantauan pengalihan produk sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah membangunkan Sistem Pemantauan Sawit (SPS) untuk memantau pergerakan kenderaan yang mengangkut minyak sawit bertujuan mengelakkan salah laku.
Ketua Pengarah, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pejabat MPOB di seluruh negara sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan pematuhan peraturan dalam industri sawit.
“MPOB sntiasa bekerjasama dengan jabatan dan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar bagi membendung aktiviti salah laku dalam industri sawit yang boleh mengugat kesejahteraan industri sawit.
“Pihak industri dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti salah laku dalam industri sawit digesa memaklumkan kepada MPOB untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Kenyataan itu bagi mengulas laporan media sebelum ini mengenai dakwaan pihak tertentu berhubung tindakan penguatkuasaan MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab mengawal selia industri sawit.
Ahmad Parveez berkata, MPOB melaksanakan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin pertumbuhan industri sawit yang teratur dan mampan.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan peraturan MPOB dijalankan dengan telus dan adil.
“Maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam berkaitan perlanggaran peruntukan undang-undang MPOB akan diteliti selain siasatan dijalankan mengikut kuasa yang diperuntukkan mengikut perundangan MPOB (Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998) dan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan,” katanya.