KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) komited dalam memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang mengunjungi Pasar Basah Bandar Riyal terjamin serta bebas daripada wabak Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Peter Minos berkata satu perbincangan telah diadakan oleh MPKS bersama jawatankuasa yang mewakili peniaga-peniaga di pasar basah berkenaan mengenai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan dengan ketat.
“MPKS akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pasar ini bebas daripada jangkitan Covid-19 dengan memastikan semua peraturan yang telah digariskan dalam SOP ditetapkan oleh kerajaan dikuatkuasakan dan dipatuhi sepenuhnya oleh peniaga dan orang ramai.
“Setiap peniaga mesti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika menjalankan urus niaga di dalam Pasar Basah Bandar Riyal ini.
“Selain itu, mereka mesti melalui pemeriksaan suhu badan yang akan dilakukan oleh pegawai MPKS serta memberi maklumat peribadi dua kali sehari iaitu pada pagi dan tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Tegas beliau, orang ramai yang mengunjungi pasar tersebut hanya dibenarkan untuk menggunakan satu laluan atau pintu bagi urusan masuk dan keluar ke pasar tersebut.
Katanya, bagi memastikan penjarakan fizikal sentiasa dijaga, MPKS menetapkan jumlah maksimum pelanggan yang boleh berada di dalam kawasan pasar basah itu kepada 50 orang pada satu-satu masa.
“Hanya 10 pelanggan dibenarkan masuk selepas kumpulan pertama 10 orang selesai menjalankan urusan mereka serta mesti mematuhi peraturan dan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.
“Walaupun pegawai penguat kuasa MPKS ditempatkan di pintu masuk dan keluar utama, kerjasama dan bantuan jawatankuasa yang mewakili peniaga-peniaga di sini tetap diperlukan bagi memastikan tidak ada individu menggunakan laluan lain untuk memasuki premis ini.
“Kita akan meletakkan palang besi di sekeliling pasar basah dan bukan lagi tali plastik seperti sebelum ini serta permit MPKS diperlukan bagi kerja-kerja mengangkat dan memunggah barangan di beberapa lokasi yang telah dibenarkan,” tegasnya.
Beliau turut mengarahkan kontraktor yang menguruskan aspek kebersihan di pasar basah tersebut untuk sentiasa memastikan tandas, lantai dan parit di sekitarnya dalam keadaan bersih.
“Selain itu, kita juga tidak akan membenarkan peniaga luar yang mencurigakan untuk berniaga di pasar ini dan dengan itu bantuan para peniaga amat diperlukan kerana kita tidak mahu mana-mana peniaga yang ukan peniaga asal pasar basah ini membawa seterusnya menyebarkan wabak Covid-19 ke sini.
“Jika berlaku jangkitan mahupun hanya satu kes positif Covid-19 dikesan, bermakna pasar ini akan ditutup selama 14 hari dan apabila ia dibuka kembali kelak pastinya akan mengambil masa untuk mengembalikan keyakinan pembeli untuk datang semula ke sini,” jelasnya.
Ujarnya, situasi itu akan memberi nama buruk daerah Kota Samarahan terutamanya kepada pasar itu, jika terdapat satu kes positif dikesan di pasar basah berkenaan.
Oleh Zarina Abdullah