

KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memperhebat tindakan penguatkuasaan apabila melaksanakan operasi sitaan besar-besaran terhadap barangan dan peralatan perniagaan yang ditinggalkan di kawasan larangan tanpa kebenaran, hari ini.
Operasi tersebut menyasarkan individu serta peniaga yang masih berdegil menjalankan aktiviti di lokasi tidak dibenarkan selain meninggalkan peralatan sehingga menimbulkan halangan di kawasan awam.
Dalam operasi yang dijalankan di beberapa lokasi strategik dalam kawasan pentadbiran pihak majlis, pelbagai kelengkapan perniagaan telah disita termasuk gerai mudah alih, kanopi, payung besar, tong gas, peralatan memasak serta kerusi dan meja.


Menurut kenyataan media MPKS, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan kawasan awam berada dalam keadaan teratur, bersih dan selamat untuk kegunaan orang ramai.
Tambah kenyataan itu, kehadiran peralatan yang ditinggalkan tanpa kawalan bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah boleh mengganggu aliran trafik serta pergerakan pejalan kaki.
Sehubungan itu, MPKS menegaskan bahawa semua aktiviti perniagaan di kawasan awam perlu mematuhi peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Peniaga turut diingatkan supaya mendapatkan permit atau kebenaran sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti serta tidak meninggalkan harta peribadi di lokasi awam selepas tamat waktu operasi.
Dalam pada itu, pihak majlis memberi amaran bahawa operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala tanpa kompromi bagi memastikan undang-undang kecil sentiasa dipatuhi demi kesejahteraan penduduk di kawasan Kota Samarahan.
Oleh Adi Safarman