KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa semua kementerian dan agensi kerajaan untuk menggunakan portal Perundingan Awam Bersatu (UPC) untuk terus mengekalkan libat urus pihak berkepentingan mereka terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, dengan normal pendigitalan baharu, perundingan awam dalam talian melalui UPC akan dapat mengurangkan interaksi antara orang ramai dan memastikan jarak fizikal antara mereka.
“Dalam kita bergelut dengan impak daripada pandemik COVID-19 mengenai cara kita menjalankan libat urus dan kerjasama awam-swasta, tidak dinafikan bahawa agensi kerajaan seperti MPC perlu mengubah platform penyampaian perkhidmatan kita untuk berteraskan kepada teknologi yang diupayakan secara digital untuk mencapai pelanggan dan asas pihak berkepentingan.
“Menangguhkan atau membatalkan perundingan awam perlu dielak, berikutan meneruskan libat urus pihak berkepentingan dengan memanfaatkan saluran digital seperti UPC akan mengukuhkan lagi usaha kita untuk melindungi kepentingan ekonomi dan sosial negara bagi memastikan daya tahan kita dalam dunia selepas COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, MPC menganjurkan Sesi Webinar GRP mengenai ‘Walkthrough Unified Public Consultation’.
Abdul Latif berkata antara bidang fokus utama MPC ialah melaksanakan Amalan Pengawalseliaan yang Baik, membolehkan penglibatan semua pihak berkepentingan dalam merangka peraturan dan dasar baharu, selain pindaan terhadap peraturan sedia ada.
Ini untuk memastikan evolusi landskap pengawalseliaan di Malaysia mengambil kira maklum balas dan kebimbangan pihak berkepentingan utama, katanya.
“Kini, portal UPC dalam talian merupakan saluran penting untuk memacu kerjasama awam-swasta, ke arah memastikan pembangunan landskap pengawalseliaan yang mampan, menumpukan kepada mengurangkan beban yang tidak perlu kepada pihak berkepentingan.
“Ini menjadi lebih penting terutamanya dalam menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh perniagaan Malaysia berikutan pandemik tersebut,” katanya.
Antara pengawal selia yang aktif dalam UPC termasuklah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Jabatan Standard Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia.
Bagi kementerian, platform perundingan dalam talian itu telah menyaksikan penglibatan yang aktif antaranya daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Sementara itu, Pakar Dasar dan Teknikal GRP MPC Datuk Ooi Say Chuan berkata, UPC akan memudahkan libat urus pihak berkepentingan dalam proses merangka peraturan dengan cara yang lebih berkesan dan telus.
“Idea ini yang memudahkan input mereka dalam platform terbuka menjadikan semua orang lebih bertanggungjawab dalam memberikan pandangan mereka,” katanya, yang turut menggesa pengawal selia yang tidak mengambil bahagian untuk mengambil peluang daripada platform UPC itu berbanding mewujudkan yang baharu yang mungkin memakan masa dan mahal,” katanya.
Sejak dilaksanakan pada Oktober 2019, UPC telah menyelesaikan 68 perundingan, dengan 51 perundingan sedang dijalankan.
Terdapat lebih 13,000 pengguna telah mendaftar di portal UPC untuk memberikan maklum balas dan cadangan mereka mengenai peraturan, selain menarik perhatian pihak berkepentingan dengan 160,283 pengunjung.
Portal UPC boleh diakses melalui www.upc.mpc.gov.my. – Bernama