SIBU: Penggunaan logo Petunjuk Geografi (GI) Lada Sarawak perlu difahami dengan jelas oleh pedagang bagi memastikan identiti dan reputasi produk berkenaan terus dilindungi serta digunakan selaras dengan ketetapan yang berkuat kuasa.
Lembaga Lada Malaysia (MPB) dalam satu kenyataan media menjelaskan, nama Lada Sarawak membawa reputasi dan identiti unik yang telah lama menjadi antara aset intelek nasional selepas didaftarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Sehubungan itu, MPB mengambil langkah memberi penerangan secara terus kepada pemain industri menerusi Sesi Libat Urus Bersama Pedagang Lada Berkenaan Peraturan Pelesenan dan Penggunaan Petunjuk Geografi (GI) Lada Sarawak yang berlangsung di Pejabat MPB Sibu, hari ini.

Sesi berkenaan melibatkan seramai 32 pengeksport, pedagang dan peraih lada dari sekitar Sibu.
Selain memperjelas tatacara penggunaan GI Lada Sarawak, sesi tersebut turut memberi penerangan mengenai peraturan serta keperluan pelesenan dalam aktiviti perdagangan lada.
MPB turut memberi ruang kepada pedagang mengemukakan persoalan dan mendapatkan penjelasan berdasarkan urusan sebenar yang mereka jalankan dalam industri berkenaan.
Dalam perkembangan sama, isu Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang kini diperluaskan kepada penggiat industri agrikomoditi sektor lada turut diketengahkan.
MPB menggalakkan pedagang lada yang menggunakan kenderaan diesel dalam menjalankan perniagaan supaya memohon skim berkenaan, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Menurut MPB, sesi libat urus itu bukan sekadar memberi penjelasan mengenai perkara yang perlu dipatuhi, malah membantu memastikan pedagang sentiasa mengikuti perubahan dan perkembangan semasa yang boleh memberi kesan kepada operasi perniagaan mereka.
Pada masa sama, tanggungjawab bersama untuk menjaga nama serta identiti Lada Sarawak terus ditekankan supaya produk berkenaan kekal mempunyai nilai dan reputasi di pasaran.
Usaha tersebut turut dilihat penting bagi memastikan aktiviti perdagangan lada Sarawak bergerak seiring dengan pematuhan terhadap prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
Oleh Adi Safarman





