KUCHING: Anak syarikat Permodalan Satok Berhad iaitu Acacia Power Sdn. Bhd. dan syarikat teknologi tenaga lestari dari Itali, NextChem SPA, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Majlis itu berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Pengarah Permodalan Satok Berhad, Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju tenaga hijau di rantau ini.
“Projek ini menggunakan sumber biojisim yang melimpah di Sarawak untuk menjana tenaga boleh diperbaharui. Ia bukan sahaja mesra alam tetapi juga berpotensi mengubah landskap ekonomi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara dua syarikat tersebut.
Majlis itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abdul Aziz berkata objektif utama Acacia Power adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), yang menumpukan kepada daya tahan ekonomi, kelestarian alam sekitar, dan keterangkuman sosial.
“Projek ini turut menarik pelabur asing yang mencari penyelesaian tenaga rendah karbon. Ia menunjukkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan mampan dan pengurangan jejak karbon global,” katanya.
Beliau turut memuji peranan NextChem SPA dalam membawa teknologi terkini untuk merealisasikan projek ini.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan pemindahan teknologi malah juga memperkenalkan kepakaran baharu dalam penjanaan tenaga biojisim kepada Sarawak. Ia turut membuka peluang ekonomi melalui pelbagai kesan sampingan yang dihasilkan,” katanya.
Projek ini dijangka menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Sarawak. Selain itu, ia turut memastikan pemeliharaan keindahan alam semula jadi untuk generasi akan datang.
“Penubuhan Acacia Power adalah bukti kejayaan visi dan kerjasama. Bersama, kita memacu peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui demi masa depan yang lebih cerah dan lestari,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT