Motosikal terbakar dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di lokasi kejadian selepas sebuah motosikal 250cc terbakar hampir 100 peratus dalam kemalangan dengan Mazda CX-5 di Jalan Lapangan Terbang, Kuching, awal pagi tadi. Foto JBPM 

KUCHING: Sebuah motosikal berkuasa 250cc terbakar hampir 100 peratus dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 di Jalan Lapangan Terbang, di sini, awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.04 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal 250cc dan sebuah Mazda CX-5. Motosikal tersebut telah terbakar hampir 100 peratus,” kata Komander Operasi, PBK II (TBK I) Munirul Muhammad Matrang dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang penunggang motosikal lelaki mengalami kecederaan dalam kejadian itu manakala pemandu kenderaan berkenaan tidak cedera.

“Tiada kebakaran melibatkan kenderaan lain. Operasi turut melibatkan pemantauan keselamatan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat,” tambahnya.

Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada 5.41 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.

Mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menerima rawatan lanjut.

Oleh Adele Rissa