LIMBANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak sudah siap siaga untuk menggerakkan 176 aset dan 2,600 anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bulan depan.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, aset APM Sarawak merangkumi 100 kenderaan air dan 76 kenderaan darat untuk digunakan.
“Ini akan digerakkan di setiap daerah dan kawasan luar bandar di Sarawak termasuk jika berlaku bencana luar jangka.
“Kita telah menyediakan dan melatih lebih 2,600 anggota termasuk pegawai tetap dan Sarawak antara negeri yang cekap menguruskan situasi MTL,” katanya ketika ditemui media pada lawatan kerja di Pejabat APM Limbang hari ini.
Hadir sama Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Limbang, Kapten (PA) Bonnie Madisun.
Aminurrahim berkata APM juga akan bermesyuarat mengenai persiapan MTL pada 3 Oktober ini di Kota Tinggi Johor yang diurus setia oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mesyuarat sama akan diadakan di Sarawak dalam tempoh terdekat ini.
Selain itu katanya, Ops Ramah turut diteruskan untuk melakukan tinjauan di ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti di seluruh negara bersama agensi teknikal lain termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan.
Beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca terkini terutama semasa peralihan monsun sekarang yang membawa hujan lebat, ribut dan angin kencang pada sebelah petang.
APM katanya, juga akan memantau keadan pokok uzur dan bangunan berisiko yang boleh menjejaskan harta benda dan nyawa orang ramai.
Oleh ADENG EDRUS