SHEILA ZAIDI
KUCHING : Semua warganegara Malaysia termasuk rakyat Sarawak yang mahu masuk ke negeri ini perlu memohon permit daripada polis sebelum mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBNS tidak akan membenarkan sesiapa sahaja memasuki Sarawak sekiranya mereka tidak mendapatkan permit daripada polis.
“Berkuatkuasa hari ini (Selasa), JPBNS tidak akan membenarkan sesiapa untuk masuk ke Sarawak sekiranya mereka tidak memenuhi syarat ini.
“Selepas mendapatkan permit daripada polis, barulah mereka memohon kebenaran daripada JPBNS menerusi portal http://sdmc.sarawak.gov.my,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.
Menurut Uggah, syarat itu selaras dengan arahan yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan iaitu sekatan perjalanan antara negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sementara itu, perjalanan merentas daerah pula masih tidak dibenarkan di Sarawak sepanjang pelaksanaan PKPB.
Larangan ini, kata Uggah, cuma berkuat kuasa di Sarawak kerana negeri ini sama luas dengan Semenanjung Malaysia yang zon hijau berada dalam daerah tertentu menyebabkan sekatan perjalanan antara daerah masih perlu dilaksanakan.
Tegasnya, angka kes positif yang berlaku di luar bandar adalah kerana ada perjalanan mangsa atau mereka yang positif Covid-19 dari Kuching ke tempat yang tertentu yang menyebabkan penyebaran Covid-19.
“Oleh yang demikian, kita cuba untuk menghalang perkara ini berlaku kerana ia merupakan rantaian utama penularan Covid-19 di negeri ini walaupun antara zon hijau dengan zon hijau.
“Bagi situasi di Sarawak ini, isu perjalanan antara zon tidak boleh dibangkitkan kerana pergerakan rentas daerah menjadi penekanan di negeri ini,” jelasnya.
Justeru, katanya, bagi menyekat perjalanan antara daerah berlaku, syarikat pengangkutan awam di negeri ini tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan perjalanan antara bahagian.
JPBNS juga telah memberitahu pengusaha bas untuk memikul tanggungjawab bagi menentukan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Jika terdapat penumpang yang perlu bergerak antara daerah seperti penjawat awam yang hendak pergi kerja, mereka perlu memastikan penumpang berkenaan mempunyai dokumen kebenaran yang sah.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zing Hing.