
TATAU: Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MLNG), anak syarikat PETRONAS menyalurkan sumbangan 1,000 liter petrol kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau menerusi Program Memacu Kehidupan – Bantuan Bencana di Pejabat Daerah Tatau, semalam.
Ia bertujuan menyokong operasi bantuan banjir serta misi mencari dan menyelamat (SAR) insiden bot karam di Sungai Sangan.
Sumbangan disampaikan oleh Eksekutif Hal Ehwal Awam MLNG, Steven Hwong Lee Kin, kepada Pegawai Daerah Tatau merangkap Pengerusi JPBD Tatau, Calvin Ligong.
Turut hadir menyaksikan penyerahan ialah Penolong Pegawai Daerah Tatau, Winnie Dian, serta kakitangan dari Pejabat Daerah Tatau dan MLNG.
Selain MLNG, Sarawak Water Berhad turut menyumbangkan 60 liter petrol dalam majlis yang sama.
Sumbangan itu akan digunakan untuk operasi pengangkutan air, pemindahan penduduk yang terjejas, serta penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan.
Calvin merakamkan penghargaan kepada MLNG atas komitmen berterusan dalam membantu masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Sumbangan ini amat bermakna dalam memastikan kelancaran operasi bencana khususnya dalam menghadapi situasi banjir,” katanya.
Program Memacu Kehidupan – Bantuan Bencana merupakan inisiatif CSR MLNG yang berteraskan pembangunan masyarakat dan kesejahteraan komuniti, selari dengan usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana di Sarawak.
Oleh Carolyne Utih