PETRA JAYA: Belanda menyatakan kesediaan untuk mengadakan kerjasama dengan Sarawak dalam bidang pengurusan dan teknologi berkaitan dengan air.
Duta Belanda ke Malaysia, Jacques Louis Werner berkata, negaranya mempunyai reputasi kukuh dalam kedua-dua bidang ini dan dapat membantu Sarawak menguruskan air wilayah ini dalam beberapa aspek.
“Ini termasuk pencegahan banjir, mitigasi banjir, hakisan pantai, pemulihan tanah, serta pembersihan air untuk kegunaan minuman dan pengairan.
“Saya telah menawarkan sokongan dan bantuan kami dalam bidang ini kepada Premier Sarawak.
“Kerjasama ini akan melaksanakan beberapa rancangan yang telah disusun, termasuk juga untuk Sibu, yang merupakan contoh utama dalam bidang teknologi air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Antara lain yang turut dibincangkan ialah isu global iaitu keterjaminan makanan dan pertanian yang mana menurut Jacques, Belanda dan Sarawak juga boleh bekerjasama dalam bidang ini.
Beliau berkata, esok akan berlangsung satu majlis pelancaran projek pembangunan ‘metropolitan food cluster’ di mana pelabur-pelabur Sarawak yang berani bekerjasama dengan sektor teknologi makanan dari Belanda untuk mewujudkan pengeluaran makanan yang baik dan mampan untuk masa depan,” katanya. EDISI UKAS