TOKYO: Kapal angkasa tanpa pemandu Misi 1 Hakuto-R oleh syarikat pemula berpangkalan di Jepun, ispace mengakui percubaannya untuk menjadi syarikat pertama berjaya mendarat di Bulan, berakhir dengan kegagalan, namun beriltizam untuk meneruskan misi baharu.
Misi 1 Hakuto-R dijadualkan mendarat di permukaan Bulan semalam, tetapi gagal dihubungi firma berkenaan selepas sekitar 25 minit mendarat.
ispace dalam satu kenyataan berkata, kapal angkasa kebarangkalian berada pada kedudukan tinggi sebelum melakukan pendaratan cemas di permukaan Bulan.
Syarikat itu berkata, juruteranya sedang berusaha untuk menentukan sebab pendaratan itu gagal.
“Walaupun kami tidak jangka untuk melengkapkan pendaratan Bulan pada masa ini, kami percaya sudah mencapai sepenuhnya kepentingan misi ini selepas memperoleh banyak data dan pengalaman.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas ispace Takeshi Hakamada, pengetahuan dan pembelajaran daripada kegagalan misi kali ini akan diperkukuhkan untuk meneruskan Misi 2 dan seterusnya.
Beliau berkata, firma itu kini sedang membangunkan dua lagi percubaan untuk mendarat di Bulan.
Insiden itu adalah penamat mengecewakan kepada misi itu selepas pelancaran kapal angkasa itu menerusi roket SpaceX, Falcon 9, Disember lalu.
Roket itu membawa muatan daripada beberapa negara, termasuk rover dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Memiliki ketinggian lebih dua meter dan seberat 340 kilogram (kg), kapal angkasa itu memasuki orbit Bulan, bulan lalu.
Pendaratan Hakuto-R adalah automatik sepenuhnya dan kapal angkasa itu sepatutnya mewujudkan semula komunikasi sebaik sahaja ia mendarat di permukaan Bulan. – AFP