KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,532,000 kepada 1,532 masjid dan surau negeri di negeri ini bersempena dengan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sumbangan tersebut bertujuan untuk penganjuran aktiviti untuk masjid dan surau.
“Sumbangan ini adalah kelaziman bagi kita untuk membantu masjid dan surau di Sarawak untuk mereka mengadakan ibadah masing-masing pada bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada masjid dan surau Negeri Sarawak di Kuching, semalam.
Ketua Menteri juga menambah, pada tahun ini, solat sunat tarawih dibenarkan di masjid dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Pada tahun ini dengan melihat keadaan pada masa sekarang, kita telah memberikan kebenaran untuk mengadakan solat sunat tarawih di surau dan masjid.
“Namun, SOP mestilah dipatuhi dengan sebaiknya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengajak rakyat negeri ini untuk bersama-sama mengambil suntikan vaksin Covid-19 yang diteruskan bagi fasa kedua pada April ini.
“Pada 19 April ini, kita akan memasuki fasa kedua vaksin Covid-19 di mana ia akan melibatkan sebahagian besar rakyat kita bukan sahaja petugas barisan hadapan tetapi semua lapisan masyarakat kita.
“Dengan vaksin secara percuma ini, kita minta supaya rakyat tidak takut untuk mendapatkan vaksin ini,” katanya
Sementara itu, Abang Johari turut menambah bahawa, Kerajaan Sarawak akan memastikan masjid dan surau di seluruh negeri akan terus dibantu termasuk di kawasan pedalaman.
“Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan yang agak besar pada tahun ini untuk membangunkan dan membaiki masjid dan surau yang sedia ada,” katanya lagi.
Turut hadir Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.