Michael Kong gesa orang ramai berhati-hati dengan skim pelaburan meragukan

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong Feng Nian bersama Liew yang mendakwa mengalami kerugian selepas menyertai program pelaburan dikenali sebagai HGG.

KUCHING, 8 Oktober: Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan menarik atau konsisten bagi mengelakkan risiko menjadi mangsa skim pelaburan meragukan.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, peringatan itu susulan aduan seorang lelaki dikenali sebagai Liew yang mendakwa mengalami kerugian selepas menyertai program pelaburan dikenali sebagai ‘HGG’.

Menurut Kong, beliau baru-baru ini bertemu Liew yang berkongsi pengalamannya menyertai program berkenaan selepas diperkenalkan oleh seorang rakan ibunya dikenali sebagai Evon.

“Liew dimaklumkan bahawa HGG memerlukan modal untuk membiayai aktiviti perdagangan syarikat.

“Pelabur dikatakan boleh membeli barangan atau produk tertentu bagi pihak syarikat sebelum menerima bayaran balik mingguan berserta pulangan pelaburan daripada keuntungan perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kong berkata, pada peringkat awal, program berkenaan dilaporkan berjalan seperti yang dijanjikan apabila Liew menerima beberapa bayaran balik.

Keadaan itu mendorong Liew untuk terus melabur, selain memperkenalkan program berkenaan kepada beberapa rakannya.

“Secara keseluruhannya, Liew dan sekumpulan rakannya dianggarkan telah melaburkan antara RM200,000 hingga RM300,000 dalam program tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Kong, bayaran balik yang dijanjikan didakwa terhenti sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, usaha berulang kali oleh kumpulan pelabur terbabit untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian mengenai wang pelaburan mereka juga belum membuahkan hasil yang memuaskan.

Liew turut mendakwa usaha menghubungi individu yang memperkenalkannya kepada program berkenaan tidak berhasil.

“Sudah tentu para pelabur kini amat bimbang tentang nasib wang mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Kong menasihatkan orang ramai supaya menjalankan semakan dan penelitian menyeluruh sebelum menyertai sebarang program pelaburan, khususnya yang menawarkan pulangan lumayan atau konsisten.

Beliau berkata, bakal pelabur perlu memastikan kesahihan sesuatu pelaburan, memahami kaedah keuntungan dijana serta mendapatkan nasihat bebas daripada profesional kewangan bertauliah sekiranya perlu.

“Orang ramai juga perlu menjauhi peluang pelaburan yang tidak dapat dijelaskan dengan jelas atau menawarkan pulangan yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai,” katanya.

Kong turut menggesa individu yang mengesyaki diri menjadi mangsa skim pelaburan meragukan supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, laporan awal bukan sahaja dapat membantu siasatan, malah berpotensi mengelakkan lebih ramai individu daripada mengalami kerugian serupa.

Beliau berharap pengalaman yang dikongsikan Liew dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berwaspada sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Oleh Connie Chieng