SARATOK, 8 Oktober: Pelaksanaan tiga projek bekalan air terawat bernilai RM185 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini mencapai kemajuan 12.94 peratus dan dijangka siap pada Mei 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, perkembangan projek berkenaan antara perkara utama yang dibincangkan dalam perjumpaannya bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak semalam.
Menurutnya, pertemuan itu bertujuan mendapatkan status terkini projek bekalan air terawat yang telah diluluskan dan sedang dalam proses perlaksanaan di beberapa kawasan dalam DUN Krian.
Beliau berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan melibatkan kawasan Ulu Sebetan yang merangkumi empat rumah dan sebuah sekolah rendah.
“Projek turut melibatkan kawasan Brayang yang merangkumi tujuh rumah panjang, serta kawasan Mudong, Tapang Ujan dan Kop Ibus yang melibatkan 12 rumah panjang dan sebuah sekolah rendah,” katanya.
Friday berkata, kesemua projek berkenaan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan kerajaan Sarawak dan kini sedang berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Sementara itu, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kawasan Ulu Gerenjang yang melibatkan empat rumah panjang, iaitu Rumah Jungan, Rumah Henry Sang, Rumah Ancharang dan Rumah Garan, masih berada pada peringkat tinjauan oleh pihak perunding.
Beliau berkata, projek berkenaan merupakan projek Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam perkembangan berkaitan, Loji Rawatan Air (LRA) Kaki Wong turut akan dinaik taraf dengan kapasiti pengeluaran air terawat ditingkatkan daripada 30 juta liter sehari (MLD) kepada 60 MLD.
Projek bernilai RM240 juta itu, katanya, akan menjadi sebahagian daripada sistem grid bekalan air seluruh Sarawak apabila siap kelak.
“Projek ini bermula pada 8 Jun lalu dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan,” katanya.
Taklimat perkembangan projek disampaikan Ketua Penolong Pengarah JBALB, Ir. Lau Chong Choon, manakala Timbalan Pengarah (Operasi), Ts. Aaron Gorino, turut hadir.
Friday berkata, sesi taklimat itu penting bagi membolehkannya mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berkaitan projek bekalan air di DUN Krian menjelang Persidangan DUN Sarawak yang akan bermula pada 12 Oktober ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta JBALB Sarawak atas perhatian dan usaha berterusan dalam memperkukuh kemudahan bekalan air di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman





