
NEW YORK: Meta dilaporkan akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula susulan peningkatan pelaburan besar dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut sumber, syarikat itu turut merancang untuk membekukan pengambilan bagi ribuan jawatan lain dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi serta produktiviti tenaga kerja sedia ada.
Langkah berkenaan dibuat ketika Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, memberi tumpuan kepada pembangunan kecerdasan super sebagai strategi utama dalam persaingan sengit industri teknologi global. Meta kini bersaing dengan beberapa syarikat gergasi lain seperti Amazon, Google, Microsoft dan OpenAI dalam perlumbaan membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih maju.
Walaupun Meta mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh sebelum ini, syarikat tersebut meningkatkan perbelanjaan secara agresif, khususnya dalam pembangunan infrastruktur AI termasuk pusat data berskala besar.
Penganalisis industri berpandangan langkah pengurangan tenaga kerja ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengoptimumkan kos serta memanfaatkan automasi melalui AI, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja berskala besar.
Meta dijangka terus meningkatkan pelaburan dalam AI sepanjang tahun ini, dengan harapan teknologi tersebut mampu mempertingkat kecekapan pengiklanan serta membuka peluang perniagaan baharu pada masa hadapan.
-AFP