Patung dewi Athena berusia 2,000 tahun ditemukan di barat daya Turkiye

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai melihat The Hope Athena, iaitu arca marmar Rom abad ke-2 yang merupakan salinan daripada karya asal Yunani, ditemui berhampiran Ostia, Rom, seperti yang dipamerkan di Galeri David Geffen di Muzium Seni Daerah Los Angeles (LACMA) pada 15 April 2026 di Los Angeles, California, semasa pratonton media menjelang pembukaan kepada orang awam pada 4 Mei. Foto AFP

ISTANBUL: Sebuah patung marmar putih dewi Athena setinggi dua meter yang berusia 2,000 tahun dari zaman kegemilangan Empayar Rom, telah ditemukan di bandar purba Laodikeia di barat daya Turkiye, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Mehmet Nuri Ersoy menerusi hantaran di platform media sosial X memaklumkan bahawa patung berkenaan ditemukan semasa kerja-kerja penggalian di bangunan pentas Teater Barat di bandar purba yang terletak dalam Wilayah Denizli itu.

Karya agung itu dianggap sebagai contoh signifikan gaya klasik dari zaman Augustus.

Ersoy menarik perhatian bahawa teater berkenaan, yang pernah menjadi pentas bagi persembahan epik Homer, merupakan pusat ekspresi budaya pada zaman purba.

Beliau menekankan bahawa penemuan patung yang berada dalam keadaan baik itu mengukuhkan peranan sejarah bandar itu sebagai hab seni utama.

“Menerusi visi ‘Warisan untuk Masa Hadapan’, kami terus memelihara warisan unik ini untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” kata menteri itu merujuk kepada inisiatif nasional yang bertujuan memperkukuh usaha pemuliharaan arkeologi.

Laodikeia, yang tersenarai dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), merupakan antara pusat perdagangan dan kewangan paling penting pada zaman ‘Hellenistic’ dan Rom.

Kerja-kerja penggalian yang sedang dijalankan terus mendedahkan struktur monumental bandar itu, termasuk teater, stadium dan kawasan suci. – Bernama

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos