
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Jurulatih Austria, Ralf Rangnick, mengetahui apa yang bakal dilakukan Lionel Messi dan telah merangka pelan untuk mengekangnya.
Namun, kapten Argentina itu tetap menjaringkan dua gol sekali gus mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Piala Dunia.
Rangnick mungkin tidak begitu dikenang oleh penyokong Manchester United selepas tempoh singkatnya bersama kelab itu pada musim 2021-2022.
Namun begitu, jurulatih Jerman berusia 67 tahun itu tetap dianggap sebagai antara tokoh bola sepak yang berpengaruh dan berpengalaman.
Beliau berjaya menghidupkan semula pasukan Austria sejak mengambil alih jawatan itu pada 2022, malah membantu mereka menewaskan pendatang baharu, Jordan, 3-1 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia minggu lalu di Amerika Utara.
Menjelang pertemuan menentang juara bertahan, Argentina, di Texas, Rangnick mengulas mengenai evolusi terkini Messi yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-39 pada Rabu.

“Lionel Messi mungkin tidak lagi melakukan larian sebanyak yang dilakukannya sebelum ini,” kata Rangnick.
“Dia gemar berada di bahagian tepi padang dan kadangkala berdiri berhampiran gawang lawan dalam kedudukan ofsaid.
“Itu tidak bermakna Argentina bermain dengan kekurangan seorang pemain, tetapi mereka mempunyai seorang pemain yang kurang terlibat dalam tekanan balas.
“Namun, itulah yang menjadikannya begitu berbahaya kerana dia boleh muncul secara bebas di ruang yang tidak dikawal. Kami perlu bersedia untuk situasi seperti itu.
“Kami tidak boleh memberikan terlalu banyak peluang serangan balas dan tidak boleh membiarkannya menerima bola tanpa kawalan,” katanya.
Marah kerana gagal sempurnakan penalti
Perancangan itu bagaimanapun gagal di hadapan kira-kira 70,000 penonton yang majoritinya penyokong Argentina dengan lautan warna biru muda dan putih.
Messi, yang dianggap sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, terlebih dahulu mensia-siakan peluang untuk memecahkan rekod Miroslav Klose apabila sepakan penaltinya tersasar pada awal perlawanan.
Selepas perlawanan, beliau mengakui dirinya “sangat marah” kerana kegagalan tersebut.
Messi kemudian hampir menjaringkan gol sebanyak dua kali, namun kedua-dua percubaannya berjaya digagalkan oleh kapten Austria, David Alaba.
Detik yang dinantikan akhirnya tiba pada minit ke-38 apabila Messi menyempurnakan hantaran Facundo Medina untuk membuka jaringan.
Seperti yang dibimbangi Rangnick, Messi bergerak bebas tanpa kawalan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menjadi identitinya.
Gol itu merupakan jaringan ke-17 Messi di pentas Piala Dunia sebelum beliau menambah gol ke-18 pada minit kelima masa kecederaan.
Kali ini, pemain veteran itu berjaya menolak masuk bola walaupun diasak beberapa pertahanan Austria yang cuba menghalangnya.
Pada usia hampir 39 tahun dan dalam penampilan keenamnya di Piala Dunia, Messi masih mampu beraksi cemerlang sehingga minit ke-95.
Dua jaringan tersebut menjadikan jumlah golnya dalam kejohanan kali ini meningkat kepada lima selepas sebelum ini menjaringkan hatrik ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0.
Ia juga merupakan hatrik pertama Messi dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia.
Messi versi terbaik?
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, yang pernah menjadi rakan sepasukan Messi pada Piala Dunia 2006, membina sistem permainan yang membolehkan kaptennya terus menyerlah.

Pendekatan itu menyaksikan pemain lain melakukan lebih banyak kerja keras bagi memberikan ruang kepada Messi untuk memainkan peranannya dengan lebih berkesan.
Namun begitu, Messi tidak dikecualikan sepenuhnya daripada tugas bertahan.
“Hari ini, ketika pasukan menghadapi kesukaran tanpa penguasaan bola, dia turut bekerja keras.
“Anda dapat melihat komitmennya dan itu menggambarkan keperibadiannya,” kata Scaloni.
Wartawan terkenal Sepanyol, Guillem Balague, yang pernah menulis biografi terperinci mengenai Messi, menyifatkan versi Messi ketika ini sangat berbeza daripada pemain muda yang mula mencipta nama bersama Barcelona pada awal tahun 2000-an.
“Messi telah mengubah dirinya sekurang-kurangnya lima kali untuk berkembang menjadi pemain seperti hari ini bersama Argentina dan Inter Miami,” tulis Balague dalam kolumnya untuk BBC.
“Dia menyesuaikan dirinya supaya terus mendominasi permainan dan kekal selangkah di hadapan sukan yang sentiasa mengejarnya,” tambahnya.
Balague turut memetik kata-kata Pablo Aimar, idola zaman kanak-kanak Messi, yang pernah berkata:
“Messi yang terbaharu sentiasa merupakan Messi yang terbaik.”
Menurut Balague, Messi kini lebih banyak berjalan berbanding berlari, namun beliau tetap menjadi pemain yang paling awal membaca situasi permainan.
“Dahulu, pengkritik menggunakan perkara itu untuk menyerangnya. Kini, ia dianggap sebagai satu bentuk penguasaan permainan.
“Dia membaca permainan, menjimatkan tenaga dan menggunakannya pada saat yang paling penting,” katanya. – AFP