
HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong bercadang memperketat kawal selia terhadap mesin penyepit hadiah susulan peningkatan aduan awam berkaitan unsur perjudian dan cara operasi sesetengah premis permainan itu.
Mesin penyepit hadiah semakin popular di bandar raya itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan puluhan premis dibuka di pusat beli-belah dan kawasan tumpuan orang ramai.
Seorang pemain, Neiki Lee, 48, mengakui telah membelanjakan kira-kira AS$12,800 (RM54,000) dalam tempoh dua tahun untuk mencuba mendapatkan hadiah yang diingini.
“Saya benar-benar terpengaruh dengan permainan ini. Kadangkala seseorang boleh membelanjakan ratusan dolar untuk mendapatkan hadiah yang nilainya jauh lebih rendah,” katanya kepada AFP.

Kaunselor perjudian, Chu Ho Ming berkata, semakin banyak wang yang dibelanjakan, semakin sukar untuk pemain berhenti kerana tidak mahu menanggung kerugian.
Menurutnya, pihaknya turut melihat peningkatan penglibatan golongan muda dalam permainan yang mempunyai unsur menyerupai perjudian.
Susulan peningkatan aduan sejak dua tahun lalu, kerajaan Hong Kong mencadangkan peraturan lebih ketat terhadap premis permainan berasaskan hadiah, termasuk mengehadkan nilai hadiah kepada AS$38.50 atau kurang, selaras dengan amalan di beberapa negara seperti Britain dan Singapura.
Pemilik premis mesin penyepit, Matthew Chan, turut menyokong langkah tersebut kerana terdapat pengendali yang didakwa meningkatkan tahap kesukaran permainan untuk menggalakkan pelanggan terus berbelanja.
Bagaimanapun, sesetengah pemain berpendapat penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah yang timbul daripada permainan berkenaan.
-AFP