SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” tahun ini boleh dirakyatkan dengan memberi tumpuan juga kepada sambutan di kampung-kampung terutama yang mempunyai komuniti pelbagai kaum.
Usaha ini secara langsung akan memupuk semangat kekitaan dan bersatu padu dalam masyarakat majmuk demi memelihara kemakmuran negara.
Utusan Sarawak membuat tinjauan dan menemu ramah orang ramai yang menerima baik cadangan itu kerana Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu melibatkan penyertaan rakyat merentasi pelbagai latar belakang kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Daro, Safiee Ahmad berkata, sambutan di semua peringkat sangat dialu-alukan walaupun di peringkat kampung.
“Hari Kebangsaan amat penting supaya generasi sekarang faham serta boleh menghargai perjuangan generasi terdahulu yang bertungkus-lumus membebaskan negara kita daripada penjajahan serta untuk memupuk semangat kekitaan dan bersatu padu dalam masyarakat demi mempertahankan kemakmuran yang dinikmati bersama sekarang,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Beliau berkata konsep mengibarkan bendera pada bulan kemerdekaan bukan semata-mata inisiatif sambutan, ia merupakan tindakan patriotik bagi menunjukkan rakyat Malaysia bangga dengan bendera dan negara yang merdeka, aman dan makmur.
“Perkara paling penting pada setiap sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah konsep perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia amnya, dan khususnya rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
“Dalam kepelbagaian ini, kita boleh hidup bersama serta mengekalkan kemakmuran negara sehinggakan negara kita sangat terkenal dengan perpaduan pelbagai kaum,” katanya.
Hari Kebangsaan, katanya, boleh disambut bersama seisi keluarga, dan jiran jika dianjurkan dalam kampung sendiri dengan pengisian aktiviti seperti pertandingan yang berkonsepkan Hari Kebangsaan.
“Pada zaman teknologi moden ini, pertandingan sebegini sangat sesuai diadakan kerana trend sebegini mendapat sambutan ramai dan pada masa sama, penyedia kandungan boleh menyumbang bakat kreativiti mereka kepada umum melalui penghasilan video,” katanya.
Timbalan Setiausaha Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Addy Puah menyokong sambutan melibatkan penyertaan rakyat merentasi pelbagai latar belakang kaum dan agama di kampung-kampung melibatkan wakil rakyat serta ketua masyarakat.
“Ya, saya menyokong terutamanya bagi pelajar sekolah amat penting untuk menghayati dan memahami Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Generasi muda termasuk pelajar sekolah, harus diberikan pendedahan yang betul dan jelas mengenai erti kedua-dua sambutan ini,” katanya.
Sebagai anak Sarawak beliau berbangga dengan Keluarga Malaysia.
“Bila kita bercakap mengenai masyarakat pelbagai bangsa duduk bersama, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sudah lama terjadi dalam kehidupan kita (di Sarawak).
“Kita mesti meneruskan semangat perpaduan yang kukuh itu. Saya sangat berbangga dengan pemimpin di Sarawak kerana mereka sangat inklusif. Kita lihat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang terus berusaha bersama barisan kabinet dan wakil rakyat untuk menjadi pemimpin yang inklusif, ini termasuk pelaksanaan dasar-dasar yang berpaksikan rakyat,” katanya.
“Kita sebagai rakyat Sarawak harus meneruskan perpaduan yang kukuh ini, jaga dan pelihara perpaduan ini. Selamat Hari Malaysia,” kata Addy, yang juga bekas wartawan.
Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Zaiton Abdul Kader pula berkata, beliau bersetuju dengan seruan kerajaan untuk melibatkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di peringkat komuniti dan keluarga.
Katanya, ketua masyarakat di peringkat akar umbi harus diberi tugas menggerakkan masyarakat bersama-sama membuat sambutan di peringkat masing-masing supaya masyarakat umum tahu akan erti sebuah kemerdekaan yang sebenar.
Zaiton berkata, mengibarkan bendera boleh menaikkan semangat, tetapi program sambutan Hari Kebangsaan boleh diperbanyakkan lagi di peringkat komuniti.
“Saya bersetuju dengan usaha kerajaan merakyatkan erti Hari Kebangsaan supaya rasa kecintaan kepada negara Malaysia semakin kuat,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN