
MUNICH: Menteri Ekonomi Jerman yang baharu, Katherina Reiche pada Jumaat menggesa pembinaan pesat loji janakuasa berasaskan gas di negara itu bagi menyokong bekalan tenaga ketika sumber boleh diperbaharui tidak mencukupi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Kita perlukan loji janakuasa berasaskan gas yang fleksibel untuk membekalkan elektrik apabila angin tidak bertiup dan matahari tidak bersinar. Dan kita perlukan ia dengan segera,” katanya pada Sidang Kemuncak Ludwig Erhard di kawasan peranginan Tasik Tegernsee, Bavaria.
Reiche menegaskan keperluan untuk segera membuka tender bagi sekurang-kurangnya loji janakuasa gas 20 gigawatt bagi memastikan keterjaminan tenaga negara terjamin.
Anggota parti Kesatuan Demokratik Kristian pimpinan Canselor Friedrich Merz itu turut merujuk kepada insiden gangguan bekalan elektrik di Semenanjung Iberia baru-baru ini sebagai bukti keperluan terhadap loji janakuasa berasaskan gas.
Bagi menjadikan perancangan ini mampu dilaksanakan dari segi kos, beliau menyarankan kontrak bekalan gas jangka panjang dan semakan semula secara realistik terhadap pelaksanaan peralihan tenaga, diperlukan.– Bernama-dpa