Oleh: Lokman Hakim
SEBUAH cerpen harus membawa sesuatu yang bersifat “disampaikan”. Namun, bagaimana pula untuk sesuatu yang harus disampaikan itu tiba pada pemahaman pembaca? Mengenderai pemahaman pembaca cerpen yang dikarang menuntut seni dan garapan tersendiri berdasarkan kreativiti pengarang cerpen.
Saya mengingini sebuah cerpen yang hasilnya membentuk suatu pandangan berserta perasaan yang teradun rapi, lantas memberikan suatu pembaharuan pada apa-apa yang wajar saya ketahui. Tetapi, ia bukan pekerjaan mudah. Bagaimanapun untuk pemula, penyampaian sesuatu secara polos dan terus menerusi naratif ringkas sudah memadai untuk pengarang cereka pendek seperti ini.
Oleh yang demikian, apakah yang Siti Hajar Ahmad sajikan dalam “Kapsul Impian Jaja”? Ada unsur nostalgia dan juga suatu penataan gambaran masa hadapan nan gemilang melatari garapan cerpen ini. Ia cuba bermain nostalgia dan menerapkan kemanisannya tetapi hilang punca di penyudahnya.
Sebaiknya, sebuah cerpen harus tekal membina naratif dan menyampaikan kesudahan terhadap watak-watak yang diperkenalkan. Atau dalam erti kata lain, membina sesuatu pada watak-watak sesudah naratif berakhir. Sayang, hal itu tidak berlaku dalam cerpen ini.
Bagaimanapun, adakah perkara ini penting?
Soal itu hanya boleh dijawab andai kita mencermati sintaksis dan juga pragmatisme cerpen ini. Secara ringkasnya, sintaksis adalah perihal susunan kata dalam ayat yang membentuk struktur penceritaan. Maka sebuah sintaksis cerpen yang boleh ditakrifkan selaku ‘berjaya’ semestinya sebuah cerpen yang mempunyai susun atur kata-kata yang terbaik.
Justeru, apa pula sifat susun atur kata-kata terbaik ini? Kita mulakan dengan perenggan pertama cerpen “Kapsul Impian Jaja”:
“Setiap langkah perjalanan, tak selalunya indah. Ada pasang surutnya sebuah kehidupan. Pahit manis, tawa dan air mata. Lalu, dalam titik terendah dalam hidup, terasa seperti kita ingin kembali, menoleh dan melihat dari mana kita bermula dahulu untuk meraih semula kekuatan dan semangat yang mula rapuh. Untuk kita menyapa semula tujuan sebenar sebuah perjalanan yang panjang ini.”
Susunan ayat-ayat ini secara meternya tampak seimbang. Apabila dibaca, ia tampak kemas. Enam perkataan disusuli ayat yang ada lima perkataan, lalu diikuti pula oleh enam perkataan yang membentuk ayat ringkas dan barulah ia disusuli dengan deretan ayat yang dibubuh koma demi koma supaya pembacaannya lancar.
Namun, pembacaan lancar semata-mata hanyalah menyentuh permukaan. Ada percubaan untuk menerapkan rasa ingin tahu pembaca dengan ayat “Lalu, dalam titik terendah dalam hidup, terasa seperti kita ingin kembali…” yang tidaklah pula dijelaskan apakah titik terendah yang dimaksudkan itu sehinggalah cerpen berakhir.
Kita lihat pula contoh petikan berikut:
“Sungguh, aku lupa. Lupa tentang apa yang aku nukilkan dulu. Namun, aku harus menerima realiti yang pahit. Ditelan untuk terus tumbuh menjadi dewasa dan matang. Hakikat kehidupan yang aku jalani sekarang terasa rumit, serabut dan menekan jiwa. Aku berjuang untuk bahagia. Namun, begitulah. Aku lemah! Merengek ketika ditimpa ujian. Sedang aku tahu, tiada masalah tanpa jalan penyelesaian. Dan, inilah tujuannya aku ke mari. Mencari punca kepada sebuah kebahagiaan untuk bangkit semula!”
Tiada konkritnya ayat-ayat dalam petikan di atas. Ia tidak membawa sebarang konteks jelas untuk pembaca rasa keterdekatan ketika membacanya. Tidak dijelaskan apakah yang rumitnya pada hakikat kehidupan yang ditempuhi itu – sesuatu yang kita tahu perkara yang benar tetapi ia tetap berbeza antara satu sama lain. Tidaklah dapat dipastikan apakah masalah yang ditempuhi Jaja hingga harus kembali ke jambatan usang sambil mengimbau kenangan silam yang masih tidak diketahui pokok pangkal perkaitannya dengan masalahnya kini.
Secara sintaks, ia cuba membawa cerita melalui susunan kata-kata yang teratur dalam ayat-ayat yang digarap baik, tetapi ceritanya tercicir pula hingga meninggalkan barisan-barisan ayat yang berlegar di permukaan semata-mata.
Lalu bagaimana pula dengan penelitian berdasarkan pragmatisme?
Secara ringkasnya, pragmatisme linguistik yang dimaksudkan ini adalah suatu penelitian terhadap interaksi antara konteks dengan bahasa itu dalam membantu menghasilkan dan memahami makna. Justeru, apabila sesebuah cerpen bermain dengan nostalgia demi membangkitkan konteks pembinaan sebuah struktur cerita, ia harus hadir pada suatu konklusi makna yang jelas. Menggunakan iktibar ataupun perolehan moral barangkali dangkal, tetapi seharusnya ia menghadirkan sesuatu yang boleh ditanggapi pembaca selaku penceritaan.
“Aku menghentikan langkah. Berlari anak menuju ke dapur dan duduk bersila di atas tikar mengkuang. Makanan sudah tersedia. Ikan empirang bakar, bubuk cicah limau dengan cili padi, telur goreng dan sambal umbut. Menyelerakan sekali. Aku paling sukakan sambal umbut mak. Tidak pedas dan cukup rasa. Belacan yang mak bakar untuk membuat sambal umbut begitu menyelerakan rengkung. Dan, tidak membuang masa aku dengan tergopoh-gapah menyenduk nasi ke dalam pinggan. Mak yang menatang mangkuk berisi sayur midin dari dapur membesarkan mata melihat ulahku.”
Berdasarkan petikan di atas, boleh dilihat fokus pengarang amat rinci dalam menjelaskan keenakan sambal umbut ibu kepada watak utama cerita ini.
Keenakan sambal umbut ini digambarkan secara literal sebanyak tiga ayat. Elemen pragmatisme ini diungkapkan pula dengan prinsip kerjasama dan implikatur berdasarkan tindakan “berlari anak” dan “tergopoh-gapah menyenduk nasi”. Tindakan-tindakan itu secara tidak langsungnya menjelaskan betapa enaknya sambal umbut tersebut.
Meskipun begitu, elemen pragmatisme yang diungkapkan berdasarkan prinsip kerjasama dan implikatur ini tidaklah dipraktikkan untuk mengungkapkan konteks penceritaan utama, yakni permasalahan yang mendorong watak utama untuk hadir ke jambatan gantung usang lalu mengimbau kenangan rawak mengenai pembikinan kapsul impian.
Oleh itu, penambahbaikan yang boleh dicadangkan kepada pengarang adalah memasukkan suatu tragedi ataupun suatu kejadian besar yang membuatkan dia kembali ke tebing sungai, tempat jambatan gantung usang itu berada. Ia boleh jadi apa-apa sahaja: kematian sahabat-sahabat yang menemaninya sewaktu imbauan kenangan berlaku, kehilangan kerja setelah bertahun-tahun cuba membina karier atau jika hendak diwujudkan suatu perkaitan yang lebih menarik, bolehlah diterapkan sesuatu yang tersemat di dalam botol yang dijadikan kapsul masa itu.
Pengarang boleh membuat keadaan misalnya, kapsul masa itu tidaklah dihanyutkan tetapi ditanam di suatu lokasi yang hanya dia tahu. Di dalam kapsul masa itu pula mempunyai mesej penting yang boleh membantunya pada waktu kini. Mesej penting itu boleh jadi kata-kata semangat ataupun suatu cerminan diri pada waktu silam yang akan mengingatkannya pada suatu semangat juang yang tidak terkalahkan.
Meskipun di dalam penceritaan ini, pengarang menggunakan surat yang dituliskan impian watak utamanya lalu dimasukkan ke dalam botol – ia tidak semestinya harus berada dalam bentuk surat. Objek atau sesuatu yang kelihatan biasa tetapi punya signifikan besar pada keadaannya pada waktu kini – sebagai contoh paku karat yang dia pijak pada waktu itu, ia juga boleh jadi objek yang sesuai diletak ke dalam botol kaca tersebut.
Memori kadangkala bertindak ibarat isi sebuah laci yang membentuk deretan almari agam. Untuk mengingati keseluruhan kejadian, hanya perlu menarik tombol laci dan segala inti pati kejadian lampau akan terpapar jelas. Oleh sebab itulah, kita sering mendengar apabila terdapat permainan kapsul masa, manusia cenderung untuk meletakkan objek-objek (selain surat) yang mewakili detik-detik penting dalam hidupnya itu.
Pengarang boleh menjadikan kapsul impian ini selaku objek refleksi diri agar tidak mudah putus asa dengan kesusahan hidup – tetapi pengarang memilih untuk mengekalkan ambiguiti inti pati surat yang dimasukkan kapsul impian itu, lantas menghadirkan pertanyaan penting – untuk apa cerpen ini ditulis sebenarnya?
Plotnya juga boleh bergerak pada titik pengarang menemukan kembali botol berisi surat yang ditulisnya itu selaku suatu keajaiban lalu menggunakannya untuk menjadi diri yang lebih baik, berkuasa dan berkemampuan untuk memangkinkan pendewasaan diri.
Pokok pangkalnya, pengarang harus menerangkan peranan kapsul impian itu dengan jelas demi memberikan konteks penceritaan yang punya makna untuk ditelusuri selaku sebuah cerpen.
Di samping kelemahan ketiadaan jambatan perkaitan antara kapsul impian, permasalahan kini watak utama dengan selingan imbas kembali, terdapat satu lagi rukun cerpen yang baik yang tidak dipatuhi pengarang.
Bilangan watak terlalu ramai.
Di dalam cerpen ini ada watak utama Jaja, adiknya Neyna, ibunya, datuknya Pak Wo, Bujang, Janai, Zana dan Miah. Pengarang mengesampingkan watak Pak Wo tanpa dialog, hanya disebut sedikit selaku pembinaan latar penceritaan. Ibunya juga ditunjukkan muncul untuk memperkenalkan babak makan tengah hari yang menggiurkan lauknya. Neyna pula dipertanggungjawabkan kepada Jaja untuk dijaga sepanjang Jaja bermain entah ke mana. Tampak peranan Bujang, Janai, Zana dan Miah yang dinamik interaksi dan perbualannya dizahirkan demi membuatkan watak-watak itu hidup. Ada insiden Jaja menginjak paku karat dan mereka yang rancak bermain di tebing sungai terpaksa berhenti. Ia menjadi penentu kepada pergerakan plot ke arah garapan kapsul impian yang menjadi judul cerpen ini.
Namun, peranan keempat-empat rakan Jaja itu pantas tergantung – kita tidak dipertontonkan ke atas apa yang terjadi pada mereka dan juga tidak diperlihatkan bagaimana kejadian di tebing sungai itu membentuk watak utama Jaja. Manakala watak Neyna juga tidak diketahui – apa yang terjadi padanya sesudah mengikuti Jaja ke jambatan gantung tersebut? Kependekan cerpen membuatkan setiap watak iringan yang dimasukkan ke dalam penceritaan menjadi semacam watak satu dimensi yang tidak memberi impak pada pembacaan.
Saranannya adalah pengarang harus mengurangkan watak – mengetepikan sama sekali watak Neyna, menyatukan keempat-empat watak iringan (Bujang, Janai, Zana dan Miah) ke dalam satu watak sahaja dan kurangkan pemberatan pada babak makan tengah hari yang tampak begitu lewah tetapi tidak membantu penceritaan.
Bertitik tolak dari situ, pengarang boleh memberi perhatian terhadap perkembangan watak lantas memberikan sisi manusiawi yang menyentuh nubari pembaca untuk terus menyoroti psikologi dan permasalahan yang dihadapi watak-watak penceritaan.
Seperti yang dinyatakan pada awal tulisan ini, sudah ternyata bahawa tiada siapa tahu apakah permasalahan yang cuba disampaikan oleh pengarang hingga mendorong watak utama untuk singgah di jambatan usang lalu mengimbau kenangan lalu. Berdasarkan penambahbaikan yang dicadangkan di atas, khususnya yang membabitkan dinamisme watak, boleh sahaja diterapkan tentang pertemuan semula kelima-lima sahabat itu di bawah jambatan gantung usang setelah sekian lama tidak berpisah. Kapsul yang hanyut dan tidak ditemukan barangkali akan kekal begitu, tetapi pengarang boleh memberikan pembayang inti pati surat yang dihanyutkan itu berdasarkan perubahan kematangan dan kedewasaan watak utama. Saranan mencantumkan watak-watak sampingan atau mengurangkannya (dengan membiarkan watak yang betul-betul membina penceritaan sahaja) boleh dikembangkan dinamisme watak melalui babak pertemuan semula itu dengan dialog yang menyentuh hati.
Walaupun tertera jelas dua kelemahan utama seperti yang dinyatakan di atas, pengarang dilihat mampu menggarap naratif dengan baik. Sintaks dan pragmatismenya diadun cemerlang meski untuk seorang penulis pemula. Penggunaan bahasanya juga baik lantas memberikan suatu sisi kelegaan kepada pembaca untuk terus menghayati baris demi baris prosa yang dihadirkan untuk membentuk naratif.
Penekanan pada elemen kearifan tempatan menampakkan kelebihan pengarang – ungkapan jenis-jenis lauk dan cara menikmatinya, buah tajo yang hanyut boleh dipanggang dan beberapa lagi sisi pelukisan latar yang agak rinci dan pemilihan subjek untuk pelukisan latar menampakkan kebolehan pengarang membina latar dengan baik. Ia juga mencerminkan kecenderungan pengarang mengguna pakai pengalaman peribadi yang tampak dibaur kasar dalam naratif rekaan, yang menuntut usaha keras untuk menjernihkan hubung kait fiksyen dengan realiti diri.