Oleh: Mohidin Haji Malek
MANUSIA ialah peran serta pemerhati dalam sketsa kehidupan. Ada ketikanya, apa-apa yang dialami atau dilihat dalam rencah kehidupan, cenderung untuk diceritakan semula, sama ada dalam bentuk lisan, mahupun tulisan. Penceritaan semula sering dilontarkan sama ada sewaktu bersembang-sembang atau bersantai-santai, lewat penghasilan karya seperti cerpen, novel, sajak, syair, skrip drama dan seumpamanya.
Dalam konteks penceritaan secara lisan, pencerita menagih respons spontan daripada audiens manakala dalam bentuk tulisan, pencerita atau pengkaryanya menyasarkan agar kisah yang disampaikan dibaca, dicerna, dihadam dan difahami oleh khalayak. Bagi penulis mapan, apa-apa peristiwa yang diceritakan diselitkan dengan pemikiran dan falsafah yang bertujuan untuk menyedarkan dan mematangkan khalayak pembaca atau masyarakat umum tentang kepincangan, kebobrokan, kebejatan, kemusnahan, keruntuhan serta hakisan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat semasa. Hal yang sedemikian berupa tujuan primer penulis melahirkan karya.
Menjadi penulis menuntut seseorang memiliki sikap ketelitian, ketekunan, kepekaan, keluasan capaian penerjahan serta ketajaman minda. Dengan erti kata lain, penulis ialah perenung terhadap apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Di samping hal yang sedemikian, seseorang penulis wajib menguasai ilmu bahasa, dan dalam konteks ruang lingkup perbincangan ini, bahasa Melayu. Bagi sesetengah penulis yang baru ingin berjinak-jinak dalam alam kepenulisan, tuntutan yang sedemikian tidak mustahil menerbitkan sedikit rasa takut atau gentar, lantas memadam semarak oja untuk menghasilkan karya. Namun seperti juga kemahiran lain, tahap mematangkan diri serta menajamkan kemahiran sudah tentu memakan masa serta usaha yang berterusan.
Wajar juga dimengertikan sedalam-dalamnya tujuan untuk menghasilkan karya. Menulis bukan sekadar peluahan emosi yang ‘tersentuh’ atau ‘tergugat’ oleh sesuatu peristiwa, mahupun penitipan kisah yang peribadi sifatnya untuk menagih simpati atau rasa belas kasihan semata-mata. Akan tetapi, menulis menuntut penitipan unsur pengajaran yang mampu mengubah corak pemikiran khalayak pembaca ke arah penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Hal yang sedemikian itulah antara nilai yang disebut-sebut sebagai unsur estetika dalam pengkaryaan. Estetika yang tercetus bukan sahaja daripada keupayaan serta kebijaksanaan pengkarya menyulam benang kata-kata menjadi ambal pengisahan, akan tetapi juga dari segi keberhemahannya menitipkan pesanan serta teguran secara halus sehingga mampu meresap dalam jiwa pembaca. Hal yang diperkatakan sedemikian, selaras dengan lontaran kata-kata Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hasan, bahawa puisi, sebagai karya sastera, mengemukakan pemikiran melalui sentuhan emosi. Sebuah karya sastera yang bermutu adalah jalinan yang harmonis antara penggunaan bahasa, gaya penceritaan dan subjek yang disampaikan.
Dalam konteks genre puisi, khususnya sajak, hal yang acap kali disebut serta diberikan penekanan adalah rumah, pengetahuan tentang landskap persekitaran, bentuk muka bumi serta iklim, bahan binaan serta kepakaran dalam ilmu pertukangan perlu diketahui. Demikian juga jenis dan bentuk rumah yang ingin dibina. Apabila menyentuh genre sajak, pemahaman tentang genre ini banyak berlandaskan acuan yang dibentuk oleh penulis-penulis terdahulu, misalnya pendeta Za’ba yang menggariskan bahawa puisi atau karangan berangkap, khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Di samping itu Za’aba juga menekankan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu, biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.
Dua ciri utama puisi yang digariskan adalah sifat abstraknya, seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi, dan, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya terhadap pembaca. Turut ditekankan bahawa puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu.
Bentuk luaran pula ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi. Manakala, struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej.
Tema adalah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi yang antaranya termasuklah keagamaan, kemanusiaan, nasionalisme, ekonomi, dan politik. Perasaan pula merujuk suasana perasaan penyair yang dihadirkan dalam puisi dan mampu dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin dalam bentuk simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah dan seumpamanya. Nada ialah sikap penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.
Hal yang dikemukakan di atas pernah ditekankan dalam wacana sebelumnya, akan tetapi hal yang sedemikian seakan-akan sama ada tidak mampu mahupun gagal digarap sepenuhnya oleh kebanyakan penulis baharu. Mungkin keterujaan untuk meluahkan perasaan yang tersentuh atau emosi yang terganggu oleh peristiwa yang dialami mengakibatkan kecenderungan pengkarya untuk mengabaikan unsur-unsur atau ciri-ciri yang dinyatakan, yang seharusnya diambil perhatian semasa penghasilan sesebuah karya. Amalan sedemikian tidak sewajarnya menyebati dalam diri selama-lamanya seandainya ingin berkembang dalam dunia kepenulisan.
Berlandaskan apa-apa yang diperkatakan di atas, dilaraskan fokus perbincangan pada tiga buah sajak yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada 14 November yang lalu, iaitu sajak “Sebutir Nasi Segunung Pesan” yang ditulis oleh Ramzi Junai, “Kopi dan Hati” karya William Muge anak Acheh dan “Keluh dalam Resah” nukilan Muhammad Aniq.
Sajak “Sebutir Nasi Segunung Pesan” agak menarik dari segi mesej yang disampaikan. Dibina lewat 25 baris, sajak ini menitipkan pesan yang amat bermakna dari konteks kesyukuran kepada Yang Maha Pencipta waima dalam bentuk sebutir nasi di tepi pinggan. Sajak ini lebih berupa retrospeksi atau renungan pengarang melihat sesuatu situasi yang berlaku di samping titipan pengajaran yang terselit di sebaliknya. Hal yang sedemikian agak jarang-jarang diketengahkan oleh penulis baharu. Ramzi Junai amat sensitif tentang sesuatu yang dilaluinya suatu masa dahulu sehingga terbawa-bawa ke zaman dewasa akan betapa renungan keras seorang ayah yang tanpa sepatah bicara pun menitip satu pesan yang amat berharga. Di samping hal yang sedemikian, cubitan si ibu yang singgah, andai ditaakuli secara mendalam, berupa terjemahan kasih dan sayang yang terucap secara simbolik dalam situasi yang serupa.
Dari segi pemilihan diksi serta pembentukan frasa dan ayat, Ramzi dikesan amat teliti dan tidak lewah di samping mampu menggugah perasaan pembaca. Sebagai contoh, ungkapan /rajuknya menyingkir teguk/, /kulontar rajuk manja/ dan /kupendam dendam berbenih dendam/.
Secara keseluruhannya, sajak “Sebutir Nasi Segunung Pesan” ini baik penukilannya, sama ada dari aspek strukturalnya, mahupun dari segi perasaan, nada serta mesej. Terkesan keseimbangan dari aspek dalaman dan luaran sajak. Pada penilaian saya, sajak ini selayaknya disiarkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa.
Sajak “Kopi dan Hati” berupa usaha pengkaryanya untuk memetaforakan sesuatu unsur sebagai kiasan. Sajak quatrain yang berdiri atas empat rangkap ini berkias tentang sifat kopi yang hitam dan hati yang hitam. Kesamaan dalam konteks warna namun berbeza dari segi kesan yang dibangkitkan. Hal yang menarik perhatian adalah unsur berkias dalam kiasan. Hati yang hitam sebaliknya berupa pernyataan hati yang kotor atau yang dicemari unsur-unsur yang tidak baik, di samping perlambangan kesedihan atau kesakitan, dan tidak sama sekali menautkan unsur warna.
Sajak ini mudah dan ringkas. Usaha William menerapkan unsur metafora berupa cubaan yang wajar dihargai, namun kurang dari segi kedalaman penyelaman perasaan, ibarat bancuhan kopi yang kurang ramuannya. Namun, andai dikembangkan dengan melakukan penambahbaikan serta pemurnian, akan terhasil sebuah sajak yang mantap.
Dari segi bahasa, William harus berhati-hati dalam konteks pemilihan diksi agar tidak berlaku kelewahan. Sebagai contoh, kata “bau” dalam baris kedua dan “aroma” dalam baris ketiga rangkap pertama, membawa pengertian yang sama. Adalah lebih persis kepekatan kopi ditautkan dengan adunannya. Soalan yang menarik untuk difikirkan dalam penukilan sajak ini adalah, unsur manakah yang ingin William alunkan metafora – kopi, hati atau warna hitam? Sama-sama kita lihat dan hayati sajak berkenaan yang dinukilkan seperti yang berikut;
Kopi dan Hati
Kopi itu hitam
Pekat baunya
Semerbak aromanya
Membangkit deria minda
Hati yang hitam
Busuk menanah
Jijik meloya
Pemilik yang terkhilaf
Bicaraku ini
Mengalun metafora
Hirupan nikmat kopi
Mendamba hati suci
Sajak ketiga, “Keluh dalam Resah” nukilan Muhammad Aniq yang dibina lewat dua rangkap memperkatakan tentang sikap manusia yang kerap mengeluh apabila terbelenggu keresahan. Muhammad Aniq menggunakan kata ganti diri “engkau”, “kau”dan “mu” sebagai perlambangan, sama ada ditujukan terhadap seseorang secara khusus mahupun kepada khalayak masyarakat secara umum. Muhammad cuba menitipkan mesej bahawa perbuatan mengeluh adalah sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan atau faedah. Berlandaskan kepercayaan serta keyakinan bahawa segala masalah berupa ujian yang diturunkan oleh Yang Maha Pencipta agar manusia lebih mendekatkan diri kepada-Nya, seseorang akan meredai segala ketentuan di samping mencapai ketenangan dalam kehidupan. Mesej yang ingin disampaikan Muhammad Aniq amat relevan dalam suasana hidup yang penuh mencabar. Namun demikian, dari segi pembinaan kerangka sajak, terlalu mudah, polos dan agak hambar. Sebuah sajak yang bernada sufi, menuntut pengkaryanya menguasai ilmu keagamaan agar sesebuah karya yang dihasilkan tidak bersifat superfisial.
Penelitian terhadap ketiga-tiga buah sajak yang ditampilkan, terkesan dua tahap mutu karya yang ditampilkan, iaitu baik dan sederhana. Usah disalah anggap bahawa penarafan ini berupa gambaran akan tahap serta kebolehan atau kemahiran pengkaryanya, akan tetapi lebih menyentuh mutu karya yang dihasilkan oleh sang pengkarya. Mutu sesebuah karya tidak dapat disandarkan semata-mata pada usia kepengarangan, akan tetapi kemampuan pengkarya memunculkan keseimbangan unsur dalaman dan luaran sesebuah karya.
Tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga pengkarya, Ramzi Junai, William Muge dan Muhammad Aniq. Teruslah menghasilkan karya dan usah mudah mengalah atau luntur semangat. Andai anda ingin menjadi penulis, teruslah berkarya, gali ilmu pengetahuan dengan memperbanyak kegiatan membaca dan yang penting, jadikan kamus teman setia anda ketika menulis. Memetik kata-kata Stephen King, “seandainya anda ingin menjadi penulis, anda perlu melakukan dua perkara mengatasi perkara-perkara lain, banyak membaca dan perbanyak hasil tulisan”.
Salam bahasa, sastera dan budaya. Bahasa Nadi Bangsa.