

PADA 6 Mac 2025 yang lalu, telah diadakan sesi podcast Pengurus Besar, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bersama TVS di Dewan Suarah, Sri Aman dengan tajuk: Mengajak Bukan Menghukum yang berkisar perihal kutipan zakat. Walaupun podcast itu hanya mengambil masa sekitar 30 minit tetapi beberapa soalan telah sempat dikemukakan dan dijelaskan bagi siaran dalam TVS. Antara soalan yang boleh dikongsikan dalam penulisan ini terdiri daripada:
SOALAN 1:
Tema kita kali ini, ‘Mengajak, Bukan Menghukum’, sangat menarik dan memberi makna yang mendalam. Sebagai pembuka tirai, bolehkah Datu berkongsi dengan para hadirin apakah yang tersirat dan tersurat dengan tema ini?
JAWAPAN 1:
Sejajar dengan tema ini, apa yang tersuratnya sudah tentu kita mahu umat Islam menunaikan kewajipan Rukun Islam yang ketiga ini tanpa paksaan. Kita mahu mereka menyedari dan menunaikan kewajipan berzakat dengan rela hati kerana faham hakikat kewajipan itu apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Pendekatan dakwah TBS adalah berkonsepkan motivasi di mana para pembayar zakat sentiasa diingatkan bahawa zakat membawa keberkatan dalam harta kita. Kita tidak mahu menggunakan kekerasan dengan menakut-nakutkan masyarakat Islam dengan azab sekiranya engkar menunaikan zakat. Kita juga tidak menafikan kebenaran hukum tidak membayar zakat memang ada akibatnya. Tetapi kaedah pentarbiahan dengan cara bil hikmah akan membuat seseorang itu menunaikan zakat atas kesedaran diri tanpa paksaan.
SOALAN 2:
Masyarakat kita memang sinonim apabila tibanya Ramadan, orang akan membayar Zakat Fitrah. Ini adalah umpama satu ikatan yang tidak dapat dipisahkan. Bagaimana pula dengan Zakat Harta, ada atau tidak satu bulan ataupun satu keadaan yang spesifik menggerakkan masyarakat menunaikan Zakat Harta mereka?
JAWAPAN 2:
Pertama, kita perlu faham ada perbezaan di antara Zakat Fitrah dan Zakat Harta. Zakat Fitrah ada tempoh waktu yang ditetapkan iaitu dibayar pada bulan Ramadan sahaja. Manakala Zakat Harta pula dibayar mengikut ikatan cukup haul. Haul adalah berbeza antara setiap individu. Dalam erti kata lain, asal cukup tempoh setahun dari tarikh awalnya membayar maka seseorang itu perlu menunaikan kewajipan berzakatnya. Lazimnya, ramai membayar Zakat Harta mereka pada penghujung tahun atau mengambil keberkatan di bulan Ramadan sebagai cukup haul mereka. Ramai juga yang membayar secara potongan gaji setiap bulan.
SOALAN 3:
Perbezaan kadar Zakat Fitrah di Malaysia menimbulkan persoalan kepada masyarakat Islam dan ini boleh menyebabkan kekeliruan. Apakah kadar Zakat Fitrah yang tepat? Apa pandangan Datu dalam perkara ini?
JAWAPAN 3:
Mengikut Syariah, kadar Zakat Fitrah ditentukan dengan mengambilkira kebanyakan beras yang di makan oleh masyarakat setempat. Tidak semua rakyat di Malaysia yang terdiri dari pelbagai tempat memakan jenis beras yang sama. Maka, harganya tetap berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Apa yang penting, dari segi keseragamannya kadar Zakat Fitrah adalah berdasarkan kepada kandungan 1 gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70 kg. Itu adalah standard berat yang telah ditetapkan oleh hukum Syara’. Setiap tahun, TBS akan membuat kajian data dari pelbagai tempat di Sarawak bagi mengenalpasti beras yang laris. Negeri-negeri lain juga mungkin menggunakan kaedah yang hampir sama. Oleh itu, tiada yang mengelirukan dengan perbezaan Kadar Zakat Fitrah kerana asas penentuannya adalah sama iaitu 1 gantang Baghdad.
SOALAN 4:
Kita sering mendengar bahawa ada suara melalui media sosial yang mempertikaikan kewibawaan Institusi Zakat dalam mengurus Baitulmal di mana mereka melihat lebihan hasil kutipan yang masih belum diagihkan. Bagaimana Datu melihat pandangan ini?
JAWAPAN 4:
TBS amat mengambilberat tentang amanah sebagai amil pengutip zakat. Semua zakat yang dikutip dalam tahun semasa akan tetap diagihkan selagi ada asnaf yang memerlukan. Sebagai contoh, pada tahun 2024 sebanyak RM143.5 juta telah dikutip dan TBS telah mengagihkan sebanyak RM 111.6 juta kepada asnaf dan mereka yang berhak. Oleh kerana perekodan mengikut tempoh satu tahun dan terdapat individu atau organisasi yang membayar zakat pada penghujung tahun, sudah tentu ada lebihan zakat yang belum sempat diagih pada tahun itu. Lebihan itu akan tetap diagihkan pada tahun seterusnya.
SOALAN 5:
Hukum zakat adalah wajib ditunaikan selari dengan kefarduan sembahyang. Pada hemat Datu, masih perlukah pentarbiahan kefarduan zakat ini dilaksanakan dalam masyarakat Islam?
JAWAPAN 5:
Sebenarnya, menunaikan zakat ini hendaklah dilihat sepertimana menunaikan solat. Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri tentang Rukun Islam di mana ia menjadi tanggungjawab setiap kita untuk wajib menunaikan kewajipan berzakat sebagai rukun Islam ketiga. Maka, tidak sepatutnya ia boleh ditinggal atau diabaikan. Walaupun TBS sentiasa melaksanakan aktiviti pentarbiahan dan juga promosinya sebagai peringatan kepada mereka yang lupa atau lalai, namun pentarbiahan zakat ini sepatutnya boleh dilakukan oleh semua masyarakat Islam di mana kita saling ingat-mengingati sesama Muslim. Apatah lagi zakat selalu dinyatakan dalam al-Quran secara bergandingan dengan menunaikan solat.
SOALAN 6:
Jika kita lihat perkembangan semasa dalam kalangan muda-mudi yang suka membayar menggunakan teknologi, apakah inisiatif TBS dalam melengkapkan prasarana teknologi ini agar TBS dilihat masih relevan dengan peredaran semasa?
JAWAPAN 6:
Kemudahan teknologi pada masa ini memang memudahkan urusan bayaran zakat. Hanya dihujung jari kita sudah boleh membuat apa sahaja pembayaran. TBS tidak terkecuali, di mana ia turut menyediakan prasarana secara atas talian melalui Portal Baitulmal Kamek. Aplikasi telefon pintar Baitulmal Kamek ini boleh dilayari dan digunakan bagi tujuan pembayaran zakat. Agen Kutipan TBS yang terdiri daripada 13 bank serta agen lain telah menghidupkan lagi kemudahan pembayaran zakat menggunakan teknologi terkini iaitu secara atas talian, “cashless” dan sebagainya.
SOALAN 7:
Boleh Datu beri gambaran ringkas berapa peratusan bilangan umat Islam Sarawak yang menunaikan zakat mereka? Adakah ia meningkat setiap tahun atau walaupun meningkat tetapi peratusannya kepada jumlah penduduk umat Islam yang layak membayar masih rendah?
JAWAPAN 7:
Statistik bilangan penduduk di Sarawak difahamkan berjumlah 2.5 juta orang. Mengikut rekod kami di TBS, bilangan pembayar zakat Fitrah (2024) sebanyak 854,871 orang. Ini bermakna ada lebih 29 peratus daripada penduduk di Sarawak membayar Zakat Fitrah. Sekiranya penduduk Islam seramai 30 peratus dari penduduk Sarawak bermakna lebih daripada 95 peratus orang Islam membayar Zakat Fitrah. Persoalannya, bagaimana Zakat Harta? Peratusannya rendah sebab kewajipan membayar Zakat Harta mengikut syarat utama iaitu kemampuan seseorang itu yakni memiliki harta yang cukup nisab dan sudah sampai haulnya. Ia tidak dapat disamakan dengan Zakat Fitrah yang kadarnya tidak tinggi iaitu RM7.50 seorang. Apapun kita bersyukur kerana umat Islam dan organisasi islam sudah bertambah bilangannya yang membayar zakat harta mereka. Zakat Potong Gaji sahaja sudah ada lebih 46 ribu orang dalam tahun 2024 dan ia terus bertambah dari semasa ke semasa. Begitu juga organisasi yang membayar Zakat Perniagaan turut bertambah dari segi kutipannya setiap tahun.
SOALAN 8:
Sebagai penutup sesi podcast ini, apakah saranan Datu kepada para hadirin kita?
JAWAPAN 8:
Alhamdulillah kesedaran membayar zakat semakin meningkat dan ia dapat dibuktikan dengan jumlah kutipan zakat bertambah dari tahun ke tahun. Dengan kutipan yang meningkat akan dapat diagihkan semula kepada golongan asnaf dan berhak. Justeru, saya menyeru kepada mereka yang sedar dan cukup syarat kewajipan mereka, teruslah dengan membayar zakat melalui pelbagai kemudahan dan saluran pembayaran TBS. Tiada alasan lagi sebab kita boleh laksanakan di hujung jari secara atas talian. Tambahan pula, kewajipan ini harus bermula dari diri kita sendiri kerana zakat adalah Rukun Islam ketiga yang menjadi kewajipan kepada kita untuk mengetahui dan menunaikannya sebagai bukti penerimaan dan keimanan kita atas perintah Allah SWT yang sudah pasti besar hikmahnya.
Wallahu alam Bissawab