Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Memperindah Sajak yang Disulam dengan Pengalaman Batin
  • WBS

Memperindah Sajak yang Disulam dengan Pengalaman Batin

Utusan Sarawak 5 hours ago

KALI ini kita dipertemukan lagi untuk mengulas kupas tiga sajak yang telah tersiar pada 11 Jun 2026 yang lepas. Tahniah kepada Conielya Vieda (“Saujana Teman”), Niniefadzilliea Iswandi (“Beban Kenangan”) dan Wan Roslina Wan Yusof (“Pokok”) kerana sajak yang dihasilkan telah menghiasi dada akhbar.

Tentu ketiga-tiganya tersenyum manis apabila menatap baris-baris puisi yang ditangani akhirnya disiarkan. Sudah tentu itu momen yang manis bagi seorang penulis. Diharap Conielya, Ninie dan Roslina akan terus berusaha menyemarakkan taman puisi tanah air dengan pemikiran, tema dan emosi sajak yang berwarna-warni.

Ketiga-tiga puisi ini memperlihatkan kecenderungan penyajak ‘muda’ menggunakan pengalaman peribadi atau lebih tepat lagi pengalaman batin sebagai asas pengkaryaan. Dalam konteks perbincangan ini, membicarakan pengalaman batin akan mengikat kita dengan hal-hal berkaitan psikologi.

Sudut pandang psikologi sastera mendapati ketiga-tiga sajak ini menampilkan proses perkembangan emosi manusia yang berbeza, iaitu kerinduan dan keterikatan sosial, pemulihan daripada kehilangan serta konflik antara kerendahan diri dan kesombongan.

Dalam ruangan ini, kita akan sama-sama menekuni tiga sajak pilihan ini dan cuba memberi fokus kepada usaha menambah rencah indah dalam sajak yang diadun berdasarkan pengalaman batin penyajak sendiri.

Sajak pertama, iaitu “Saujana Teman” oleh Conielya dapat dikesani pengalaman batin yang boleh dikaitkan dengan psikologi persahabatan dan kerinduan. Frasa “saujana teman” ini agak kurang lazim dari segi bahasa.

Mengapa? Kerana “saujana”biasanya dikaitkan dengan keluasan pemandangan, alam atau jarak, manakala “teman” seperti yang kita semua sedia maklum, merujuk kepada sahabat atau pendamping.

Dalam konteks sajak yang ditangani Conielya ini, jika maksud yang ingin disampaikan ialah ramainya sahabat, luasnya persahabatan, atau hubungan yang merentasi jarak, terdapat beberapa alternatif yang lebih semula jadi.

Contohnya, dalam sajak bertemakan ukhuwah atau persahabatan, “saujana ukhuwah” atau “saujana persahabatan” biasanya lebih puitis dan lebih mudah difahami pembaca berbanding “saujana teman”. Itu dari segi pemilihan tajuk (yang saya pasti tercetus daripada pengalaman batin penyajak sendiri).

“Saujana Teman” mengangkat tema persahabatan yang diuji oleh jarak dan perubahan kehidupan. Dari perspektif psikologi, penyajak memperlihatkan fenomena attachment atau ikatan emosi yang kekal meskipun berlaku pemisahan fizikal.

Kenangan zaman remaja menjadi sumber identiti bersama yang menghubungkan empat sahabat tersebut. Baris “kita bukanlah saling meninggalkan / tetapi hanya sedang mengutip cerita / untuk dibawa pulang” menunjukkan mekanisme psikologi yang agak matang dari sudut tindakan atau respons kepada perpisahan (yang lazimnya menyakitkan).

Penyajak tidak melihat perpisahan sebagai kehilangan, sebaliknya sebagai proses perkembangan diri. Sikap ini menggambarkan kematangan emosi dan keupayaan menerima realiti kehidupan.

Dari segi bahasa, puisi ini mempunyai imejan yang jelas seperti “samudera ilmu”, “ombak tuntutan” dan “saujana”. Diksi yang digunakan sederhana tetapi meninggalkan kesan kepada audiens.

Namun terdapat beberapa metafora yang kurang kemas dari segi logik imej. Perhatikan frasa “bagai kompas pecah terhempas oleh kenyataan” agak janggal kerana selepas itu penyajak menyatakan jarum kompas masih menunjukkan arah walaupun berputar: “Bagai kompas pecah terhempas oleh kenyataan, jarum terlihat arahnya yang berputar”. Imej tersebut menimbulkan sedikit kekeliruan, bukan?

Baris-baris ini dihadirkan oleh penyajak berdasarkan visualisasi pengalaman batin yang sebenarnya sarat beremosi.

Bagi memperindah baris-baris ini, boleh perhatikan cadangan penambahbaikan ini. Cadangan ini termasuklah memperkukuh simbol “kompas” supaya lebih konsisten dengan makna persahabatan sebagai petunjuk arah hidup.

Tambahkan juga unsur konkrit yang lebih spesifik tentang kenangan bersama supaya emosi nostalgia menjadi lebih mendalam. Kurangkan beberapa ungkapan klise seperti “gelak dan tawa” atau “jalur cita-cita” dengan metafora yang lebih segar dan unik.

Apa pun, secara keseluruhan, sajak ini berjaya menyampaikan kerinduan yang tenang dan optimistik. Syabas, Conielya! Banyakkan lagi menulis sajak bagi mempertajam pemilihan kata atau diksi dan suntikan emosi, muatan pengalaman batin serta tema dan pemikiran yang lebih sejagat sifatnya.

Kita beralih kepada sajak kedua, “Beban Kenangan”yang bertitik tolak daripada pengalaman batin Niniefadzillea yang mengusung nostalgia lama tentang kenangan lama mengusik jiwa. Jika dibaca berulang kali, sajak ini sebenarnya dapat kita kaitkan dengan psikologi penyembuhan diri.

Seawal baris pertama dan kedua “Di lorong sepi, ada kenangan berbisik/tinta di halaman silam melambai layu” jelas dikesani sajak ini menampilkan proses psikologi yang berkaitan dengan pengurusan emosi, penerimaan kehilangan dan pertumbuhan pascatrauma (post-traumatic growth).

Penyajak digambarkan sedang melalui perjalanan batin daripada keterikatan terhadap masa lalu kepada penerimaan yang lebih matang terhadap pengalaman hidup. Secara keseluruhannya, sajak ini mempunyai kekuatan pada kejujuran emosi dan kesederhanaan penyampaiannya.

Kita mulakan dengan rangkap pertama yang memperlihatkan “kenangan” sebagai entiti yang masih hidup dalam minda melalui personifikasi “kenangan berbisik” dan “tinta di halaman silam melambai layu”. Dari sudut psikologi, keadaan ini menggambarkan rumination, iaitu kecenderungan seseorang mengulang-ulang pengalaman lampau dalam fikiran.

Perkataan ini pada asalnya bermaksud “mengunyah semula makanan” oleh haiwan seperti lembu namun, secara kiasan, perkataan ini merujuk kepada minda yang “mengunyah semula” fikiran atau pengalaman yang sama berulang kali.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah beza antara rumination dengan refleksi? Rumination dan refleksi adalah dua perkara yang berbeza kerana refleksi merujuk kepada berfikir untuk memahami dan mencari pengajaran atau penyelesaian.

Gambaran rumination dikesani melalui kehadiran baris “tangis, tawa dan rahsia yang terpenjara” menunjukkan memori yang mengandungi pelbagai emosi, baik positif mahupun negatif yang masih tersimpan dalam alam bawah sedar.

Rangkap kedua dalam “Beban Kenangan” menunjukkan perubahan psikologi yang signifikan. Imej “bayangmu larut di ufuk senja” melambangkan pengakhiran atau perpisahan secara simbolik.

Ungkapan “rinduku tak lagi memanggil” menunjukkan penyajak telah memasuki fasa penerimaan. Frasa “sedikit demi sedikit aku menapak” menggambarkan proses penyembuhan yang berlaku secara beransur-ansur, bukan secara mendadak.

Dalam psikologi, ini mencerminkan daya tahan diri (resilience) dan kemampuan individu menyesuaikan diri selepas pengalaman batin yang menyakitkan.

Rangkap terakhir memperlihatkan kematangan emosi yang dicapai hasil pengalaman batin penyajak. Metafora “guru yang bisu” merujuk kepada pengalaman dan masa yang mengajar tanpa kata-kata.

Dari perspektif psikologi perkembangan, penyajak tidak lagi melihat kenangan sebagai beban semata-mata, sebaliknya sebagai sumber pembelajaran. Ungkapan “mengasuhku melepaskan beban yang tersisa di relung hati” memperlihatkan proses pemulihan emosi dan penyusunan semula makna hidup iaitu kemampuan menafsir pengalaman pahit sebagai sebahagian daripada pertumbuhan diri.

Dari aspek bahasa, sajak ini menggunakan diksi yang lembut, introspektif dan konsisten dengan tema kehilangan serta penyembuhan. Diksi seperti “lorong sepi”, “halaman silam”, “ufuk senja”, “puing-puing memori” dan “relung hati” membina suasana melankolik yang sesuai dengan perjalanan psikologi dan pengalaman batin penyajak. Penggunaan personifikasi dan metafora memperkukuh gambaran konflik emosi tanpa menyatakannya secara langsung.

Secara keseluruhannya, puisi ini menggambarkan transformasi psikologi daripada keterikatan terhadap kenangan kepada penerimaan dan pembebasan emosi. Penyajak tidak melupakan masa lalu tetapi belajar hidup dengan pengalaman itu secara lebih sihat.

Kenangan yang pada awalnya menjadi beban akhirnya bertukar menjadi sumber kebijaksanaan dan kematangan jiwa. Ini menjadikan sajak ini pada akhirnya sebagai sebuah refleksi yang mendalam tentang proses penyembuhan emosi manusia.

Bagi memperindah sajak ini, beberapa imej yang bersifat “lazim” dalam puisi Melayu kontemporari masih boleh ditambah baik. Antara yang boleh diberi perhatian ialah dengan memperbanyak imej baharu yang lebih segar dan tidak terlalu bergantung pada simbol kesedihan yang konvensional seperti “senja” dan “bayang”.

Unsur dramatik dalam perkembangan emosi boleh ditingkatkan supaya transformasi daripada kesedihan kepada penerimaan lebih terasa dan pengalaman kehilangan masih boleh diperincikan lagi agar pembaca dapat merasai konflik batin dengan lebih mendalam.

Sajak ketiga pula berjudul “Pokok” oleh Wan Roslina. Secara perbandingan, antara ketiga-tiga sajak yang kita bicarakan pada kali ini, sajak  ini paling kuat dari segi lapisan psikologi dan falsafah.

Pokok dijadikan simbol perkembangan manusia daripada keadaan serba kekurangan kepada sebuah kejayaan. Pada peringkat awal, pokok bergantung kepada tanah, hujan dan matahari. Hal ini menggambarkan manusia yang sedar akan bantuan dan sokongan orang lain.

Konflik psikologi bermula apabila pokok semakin besar dan berjaya. Baris “mula mendongak ke kaki awan” pada baris ketiga melambangkan peningkatan ego. Penyajak memperlihatkan perubahan psikologi apabila kejayaan menimbulkan ilusi kebergantungan kepada diri sendiri.

Pokok mula memandang rendah unsur-unsur yang pernah membesarkannya. Rangkap akhir merupakan saat kesedaran. Frasa “lupa asal ikatan harapan” menunjukkan kegagalan individu mengingati asal-usulnya.

Dari perspektif psikologi moral, sajak ini menggambarkan bahaya narsisisme dan kesombongan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan.

Sajak ini mempunyai kekuatan yang terserlah melalui penggunaan simbolisme pokok sebagai metafora kehidupan manusia.

Perjalanan daripada benih yang ditanam, tumbuh menjadi pohon yang gagah, sehingga akhirnya layu dan mati berjaya menggambarkan proses kehidupan yang bermula dengan harapan, berkembang dengan bantuan dan sokongan pelbagai pihak, mencapai kejayaan lalu berdepan risiko kesombongan sebelum kembali kepada hakikat kefanaan.

Jadi tidak keterlaluan jika kita katakan sajak “Pokok” ini paling kaya dengan simbolisme berbanding dua sajak sebelumnya. Keupayaan penyajak menghadirkan simbolisme secara sedar menjadikan sajak berpotensi daripada aspek kedalaman makna dan kekuatan perlambangan.

Selain itu, penggunaan citra alam seperti “benih”, “tanah”, “mentari”, “hujan”, “embun”, “angin”, “dedaun” dan “awan” juga mewujudkan kesatuan imejan yang harmoni serta memperkukuh mesej yang ingin disampaikan.

Keseluruhan unsur alam ini juga berupaya membentuk jaringan metafora yang saling berkait. Selain itu, unsur personifikasi seperti “dedaun menari bersama angin”, “pokok megah mula mendongak ke kaki awan” dan “berbisik pada mentari” menjadikan sajak lebih hidup dan menarik.

Pengakhiran sajak yang mengingatkan bahawa segala yang hidup akhirnya akan “layu, gugur dan mati” pula memberikan kesan renungan yang mendalam kepada pembaca tentang sifat sementara kehidupan dan kejayaan.

Diksi yang digunakan juga lebih matang dan bersifat alegori. Namun begitu, terdapat sedikit ketidakseimbangan pada bahagian penutup. Frasa dalam kurungan (bangga pada hal yang bersifat sementara padahal akan tiba masa) kelihatan terlalu langsung dan bersifat didaktik.

Bahagian ini mengurangkan kekuatan simbolik yang telah dibina sejak awal dan menyebabkan ruang tafsiran pembaca menjadi lebih terbatas. Kesan puitis sajak akan lebih kuat sekiranya pengajaran tersebut terus disampaikan melalui simbol dan imejan alam tanpa penerangan yang terlalu langsung.

Bagi menyuntik dos keindahan dalam sajak ini, aspek berikut boleh dipertimbangkan untuk tujuan penambahbaikan. Elakkan penjelasan secara terus dan biarkan simbol pokok menyampaikan mesej secara tersirat.

Tambahkan unsur konflik dalaman pokok sebelum kejatuhan berlaku agar perubahan psikologi lebih beransur-ansur. Ritma beberapa baris yang agak panjang juga boleh diperkemas supaya aliran bacaan lebih lancar.  Ungkapan seperti “bayang harapan”, “embun kasih”, “kaki awan” dan “hangatmu melemaskan” boleh diganti dengan diksi yang lebih segar dan kurang klise sifatnya.

Selain itu, penggunaan diksi seperti “kolaj bumi” kelihatan agak terasing daripada medan imejan alam yang mendominasi keseluruhan sajak.

Peralihan daripada keadaan pokok yang megah kepada sifat angkuh juga berlaku agak mendadak dan boleh diperkembangkan dengan imejan yang menunjukkan perubahan sikap secara lebih beransur-ansur. Di samping itu, potensi falsafah tentang hubungan antara permulaan dan pengakhiran kehidupan belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Jika penutup sajak mengembalikan semula imej benih, akar atau tanah yang hadir pada permulaan sajak, karya ini akan memiliki struktur yang lebih bulat dan mantap.

Secara keseluruhannya, sajak ini berjaya menyampaikan mesej yang bermakna melalui perlambangan yang jelas dan citra alam yang menarik, namun boleh diperhalusi lagi dari segi diksi dan pengucapan yang lebih tersirat.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga puisi yang disiarkan ini memperlihatkan penguasaan bahasa yang baik serta penggunaan unsur alam sebagai wahana emosi dan pemikiran.

Bagi memperkukuh mutu sajak, para penyajak boleh mengurangkan penggunaan imej yang lazim, memperbanyak metafora yang lebih segar dan unik serta lebih mempercayai kekuatan simbolisme yang boleh memberi kesan estetik dan psikologi sajak akan menjadi lebih mendalam serta meninggalkan “gema” yang lebih lama dalam jiwa pembaca.

Oleh Dayang Azizah Mohd Salleh

Continue Reading

Previous: Semakin Tipis Lingkungan Hijau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.