KUCHING: Sarawak amat mengalu-alukan jika jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diisi oleh wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata memang wajar GPS diberi jawatan itu bagi mewakili Borneo memandangklan ia memenangi banyak kerusi Parlimen selain lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita mahu wakil GPS berada di dalam kabinet kerajaan perpaduan dengan (jawatan) menteri dan timbalan menteri. Ini memang wajar,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan dua jawatan TPM akan diwujudkan di bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen utama kerajaan perpaduan, untuk diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 kerusi dan GPS 23 kerusi.
Royston berkata, pihaknya akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk GPS bersama dalam pembentukan kerajaan perpaduan demi demi kestabilan politik.
Katanya, keputusan pada pilihan raya negeri lalu dan pilihan raya umum baru-baru ini amat jelas menunjukan sokongan padu suara rakyat Sarawak kepada GPS.
“Ini sudah pasti akan memberi kesan langsung terhadap sokongan yg sama kepada kerajaan perpaduan yang akan dibentuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA