MIRI: Pemilik sebuah rumah melecur di bahagian tangannya ketika cuba memadam kebakaran rumahnya di Kampung Melayu Beluru, Bakong di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata,
pemilik rumah berkenaan, Sahari Sahat, 54, yang cedera dihantar penduduk kampung ke klinik berdekatan.
Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.20 malam berhubung kebakaran itu.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng digerakkan ke lokasi yang terletak pada jarak 61 kilometer dari balai.
“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kejadian itu mengakibatkan rumah yang didiami Sahari bersama isterinya musnah 100 peratus.
Oleh Liong Chai Ling