KUCHING: Setakat 16 Ogos lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menyalurkan sebanyak RM530 juta atau 85 peratus daripada peruntukan pembangunan tahun 2020 berjumlah RM619.7 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Menterinya Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata, peruntukan tersebut adalah dibawah dana PRIHATIN dan PENJANA kepada agensi di bawahnya bagi pembiayaan program pembangunan keusahawanan.
“Ini telah menjadikan MEDAC antara Kementerian yang berada di hadapan dalam menguruskan prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan terutama bagi membantu para usahawan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
“Selain itu, kita adakan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) bertujuan untuk memantau dan memastikan pelaksanaan program pembangunan Kementerian berjalan lancar dan efisien,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ujarnya, dalam mesyuarat tersebut beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan program pembangunan MEDAC perlu mengambil kira dasar berkaitan dengan keusahawanan seperti Dasar Keusahawanan Nasional 2030, Kertas/Pelan Strategik Keusahawanan, Sustainable Development Goals (SDG) 2030 dan maklum balas usahawan.
“MEDAC juga telah mengenalpasti beberapa halangan birokrasi dan ‘red tapes’ yang menjadi batu penghalang kepada pembangunan usahawan negara terutamanya dalam konteks pembiayaan kepada usahawan.
“Kementerian ini akan terus memastikan karenah birokrasi ini akan dapat dikurangkan dan perkhidmatan penyampaian agensi di bawah MEDAC dapat dipertingkatkan selaras dengan perkembangan terkini Dasar Industri 4.0.
“Kementerian juga akan terus memastikan peruntukan dapat dipertingkatkan bagi membantu usahawan terutamanya usahawan mikro dan sektor informal dapat mengadaptasi automasi, mekanisasi dan digitalisasi dalam perniagaan,” jelasnya.
Tegasnya, MEDAC komited dalam pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan bagi memastikan hasrat kerajaan dalam menjayakan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul pada tahun 2030.
Oleh Zarina Abdullah