KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan pusat pemasaran produk-produk koperasi secara dalam talian yang diharap dapat dilaksanakan pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata kajian yang telah dimulakan sejak sebulan lepas itu bertujuan mengenal pasti kaedah pemasaran yang dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli koperasi tersebut.
“Kita mempunyai sebanyak 6.6 juta ahli koperasi selain 14,686 buah koperasi di seluruh Malaysia…ini merupakan satu pasaran yang amat besar.
“Namun, malangnya, kita tidak dapat akses kepada barang-barang (yang dijual oleh koperasi-koperasi ini),” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong, berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bantuan pendidikan dan perubatan bagi penduduk di kawasan Parlimen itu di sini, semalam.
Wan Junaidi berkata inisiatif kerajaan Sarawak untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan digital di seluruh negeri ini menjelang 2025 akan turut membuka peluang lebih besar kepada koperasi yang beroperasi di luar bandar selain dapat meluaskan pasaran mereka.
“Kita kena bekerjasama dengan banyak pihak (untuk menjayakan pelaksanaan pusat pemasaran dalam talian untuk koperasi ini). Adalah diharapkan usaha ini dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.- Bernama