SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) telah melancarkan Program Kesedaran Tanggungjawab dan Amalkan Norma Baharu Dalam Kehidupan Komuniti Semasa Wabak Jangkitan Covid-19 di bandar ini semalam.
Program yang berlangsung di perkarangan stesen bas ekspress Pasar Tamu Simanggang baharu di sini telah pun dirasmikan oleh Walikota MDSA iaitu Kaunselor Anthony Abell Chendan.
Beliau ketika ditemui berkata program ini bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai bahaya penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ini pada masa sekarang.
“Untuk menjayakan program ini pihak kami akan bertindak memasang dan mempamerkan poster-poster mengenai bahaya Covid-19 dan langkah pencegahannya di pasar raya, pusat membeli belah, kedai dan tempat awam di sekitar bandar ini.
“Tindakan itu adalah amat pentingnya agar penduduk bertindak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menangani penularan pandemik berbahaya tersebut,” kata beliau.
Selain menampal poster, pihak MDSA kata Anthony juga turut bertindak mengadakan kerja menyah cemar kawasan berkenaan termasuk premis kerajaan dalam bandar ini dengan kerjasama lain-lain agensi di bandar ini.
Malah, pihak MDSA bersama agensi-agensi kerajaan di sini juga akan kerap melakukan rondaan di sekitar bagi memastikan orang ramai dan pemilik premis perniagaan di sini kekal mematuhi SOP untuk sepanjang masa.
Sementara itu, pihak MDSA dengan kerja agensi kerajaan di sini kata beliau juga turut bertindak melancarkan operasi membasmi anjing liar dan pemberian suntikan vaksin terhadap anjing peliharaan di sekitar bandar ini bermula semalam.
Menurut Anthony operasi selama dua hari itu adalah amat penting bagi membantu kerajaan mencegah penularan wabak penyakit anjing gila atau rabies di sekitar bandar ini dari masa ke semasa.
“Justeru saya menasihat pemilik anjing agar tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka itu ketika sepanjang berlangsungnya operasi pembasmian penyakit rabies dalam bandar ini sehingga hari ini (30 Ogos),” kata beliau.
Hadir sama pada program itu Setiausaha MDSA, Joseph Phang Joon Fong, Timbalan Walikota MDSA, Kaunselor Andar Suntai, para Ahli Majlis MDSA, dan Pegawai Tadbir Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Siti Hadizarina Wahid.
Anthony dan rombongannya pada program itu turut mengambil kesempatan untuk memantau pematuhan SOP di Pasar Tamu Simanggang baharu sebelum bertemu dengan pihak Task Force Sri Aman di perkarangan stesen bas ekspress berkenaan.
Oleh Valentine Ngumbang