KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil tindakan segera membetulkan sistem paparan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan masalah teknikal apabila bacaan melebihi yang ditetapkan.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, papan pemuka berkenaan dipasang pada penghujung tahun lalu dan pada asalnya direka untuk memaparkan bacaan sehingga indeks 400.
Menurutnya, ketika sistem itu direka, pihaknya tidak menjangkakan bacaan IPU akan mencapai paras sedemikian.
“Reka bentuk papan pemuka sedia ada hanya memaparkan meter IPU berbentuk bulatan, dengan dail berwarna dan mesej nasihat bertulis sehingga indeks 400.”
“Melepasi 400, ia hanya akan memaparkan nilai nombor secara betul, manakala meter bulatan dan mesej nasihat akan menjadi tidak tepat,” katanya selepas pelancaran paparan nama dan lokasi 17 kerusi negeri baharu di Ibu Pejabat MBKS, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana sistem akan kembali kepada mesej asal apabila bacaan melebihi had yang ditetapkan.
Wee berkata, MBKS telah mengambil tindakan serta-merta untuk membetulkan keadaan berkenaan.
“Kami telah melaraskan bacaan sehingga 500. Saya rasa itu had tertinggi yang kami tetapkan,” katanya.
Menurutnya, MBKS menyediakan kemudahan berkenaan bagi membantu orang awam mendapatkan maklumat dan pihaknya mahu ia menjadi maklumat yang berguna.
Dalam pada itu, Wee menggesa orang ramai supaya menghubungi MBKS sekiranya mendapati terdapat kesilapan atau perkara yang perlu dinaik taraf dan ditambah baik.
Katanya, maklum balas secara terus membolehkan pihaknya mengambil tindakan untuk membetulkan kelemahan berkenaan.
“Kami telah memasang papan pemuka ini bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi kerana kami sayangkan negeri kita dan prihatin terhadap kesihatan awam,” katanya.
Wee turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti luar apabila bacaan IPU melebihi 300.
“Saya berharap orang awam sedar bahawa apabila bacaan melepasi 300, janganlah datang bersenam di sini.
“Aktiviti luar tidak patut dijalankan. Tolong lakukan senaman di dalam rumah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan MBKS telah mula mengagihkan pelitup muka berikutan keadaan jerebu ketika ini.
Menurut Wee, MBKS kini mempunyai dua unit papan pemuka berkenaan dan bercadang menambah satu lagi di taman lain.
Shikin Mahmud





