Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mbappe jaring dua gol, Perancis benam Iraq selepas penangguhan dua jam akibat ribut
  • SUKAN

Mbappe jaring dua gol, Perancis benam Iraq selepas penangguhan dua jam akibat ribut

Utusan Sarawak 2 days ago
PERTAHANAN Iraq, Hussein Ali (kiri), bersaing merebut bola dengan penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 Kumpulan I antara Perancis dan Iraq di Stadium Philadelphia, Philadelphia pada 22 Jun 2026. Foto AFP

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Kylian Mbappe meraikan penampilan ke-100 bersama skuad kebangsaan Perancis dengan menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Iraq 3-0 dalam aksi Piala Dunia yang tertangguh lebih dua jam akibat ribut kuat, sebentar tadi.

Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sebelum menambah gol kedua pada minit ke-54, manakala pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Ousmane Dembele, turut mencatatkan nama sebagai penjaring untuk memastikan kemenangan meyakinkan pasukan pilihan kejohanan itu di Philadelphia.

Dua gol tersebut menjadikan jumlah jaringan Mbappe di pentas Piala Dunia meningkat kepada 16 gol, hanya dua gol di belakang Lionel Messi yang mencipta rekod baharu dengan 18 gol selepas meledak dua jaringan ketika Argentina menewaskan Austria pada hari yang sama.

PEMAIN tengah Iraq, Aimar Sher (kiri), dan penyerang Perancis, Desire Doue (kanan), berpelukan selepas perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 Kumpulan I antara Perancis dan Iraq di Stadium Philadelphia, Philadelphia pada 22 Jun 2026. Foto AFP

Perlawanan di Philadelphia bermula pada 5.00 pagi waktu Malaysia, namun terpaksa dihentikan ketika rehat separuh masa selepas ribut besar melanda bandar berkenaan.

Selepas bermula dalam keadaan cuaca baik, hujan lebat mula turun menjelang penghujung babak pertama dan para penyokong diarahkan meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka serta mendapatkan perlindungan di kawasan berbumbung sebaik sahaja wisel rehat dibunyikan.

Sebahagian besar daripada kapasiti 68,324 tempat duduk di Lincoln Financial Field tidak berbumbung, menyebabkan kebanyakan penyokong berhimpun di ruang legar stadium.

LUCAS Digne (kiri) dan William Saliba mengawal pergerakan Ali Al-Hamadi ketika aksi Piala Dunia 2026 Kumpulan I antara Perancis dan Iraq di Stadium Philadelphia, Philadelphia pada 22 Jun 2026. Foto AFP

Babak kedua hanya disambung semula lebih dua jam selepas jadual asal, menjadikannya perlawanan pertama dalam Piala Dunia kali ini yang tergendala akibat cuaca buruk.

Amerika Syarikat melaksanakan protokol keselamatan yang ketat yang mewajibkan sesuatu perlawanan dihentikan sekiranya ribut dikesan di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Mbappe terus mempamerkan ketajamannya di Piala Dunia selepas turut menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.

PETUGAS stadium mengeluarkan air bertakung di atas padang selepas perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 Kumpulan I antara Perancis dan Iraq ditangguhkan akibat cuaca buruk di Stadium Philadelphia, Philadelphia pada 22 Jun 2026. Foto AFP

Bintang Real Madrid berusia 27 tahun itu turut mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis menerusi jaringan yang dihasilkannya ketika menentang Senegal, sekali gus mengatasi rekod 57 gol milik Olivier Giroud.

Kini, Mbappe telah menjaringkan 60 gol untuk Les Bleus dalam 100 penampilan antarabangsa, dengan 16 daripadanya diperoleh dalam hanya 16 perlawanan Piala Dunia.

Saingan dengan Messi

Mbappe kini menyamai rekod legenda Jerman, Miroslav Klose, sebagai penjaring kedua terbanyak dalam sejarah Piala Dunia.

Beliau juga telah mengatasi jumlah 15 gol yang dijaringkan legenda Brazil, Ronaldo, dan dilihat bakal bersaing secara langsung dengan Messi bagi merebut gelaran penjaring terbanyak kejohanan kali ini.

Perancis akan berdepan Norway yang diketuai Erling Haaland di Boston pada Jumaat, namun naib juara Piala Dunia 2022 itu telah pun mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selepas meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan Kumpulan I.

Bagi Iraq pula, kekalahan ini meletakkan mereka di ambang penyingkiran awal selepas sebelum ini tewas 1-4 kepada Norway dalam perlawanan pembukaan.

Mereka kini tewas dalam kesemua lima perlawanan yang diharungi dalam dua penyertaan Piala Dunia yang dipisahkan oleh tempoh 40 tahun.

Jurulatih Perancis melakukan tiga pertukaran berbanding perlawanan pertama dengan Bradley Barcola menggantikan Desire Doue di posisi sayap kiri, Manu Kone mengambil tempat Aurelien Tchouameni di bahagian tengah, manakala Lucas Digne diturunkan sebagai bek kiri menggantikan Theo Hernandez.

Mbappe membuka jaringan sebelum tamat suku jam pertama permainan apabila mengawal hantaran menggunakan kaki kanan sebelum melepaskan rembatan dari jarak 20 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil.

Pasukan kendalian Graham Arnold kemudian menerima tamparan apabila kapten dan penyerang utama mereka, Aymen Hussein, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-26.

Penangguhan akibat cuaca mewujudkan suasana luar biasa apabila para penyokong dibasahi hujan, manakala para pemain terpaksa menunggu di bilik persalinan.

Apabila permainan disambung semula, Iraq mula hilang rentak dan satu kesilapan mudah menghadiahkan gol kedua kepada Perancis pada minit ke-54.

Sepakan gol yang diambil oleh pertahanan Iraq, Zaid Tahseen, sepatutnya dihantar kepada penjaga gol, namun hantaran tersebut terlalu kuat dan tersasar, membolehkan Dembele merampas bola sebelum membuat hantaran mudah kepada Mbappe untuk menjaringkan gol.

Michael Olise kemudian hampir menambah jaringan apabila percubaannya terkena palang sebelum pemain Bayern Munich itu mencipta bantuan gol kepada Dembele yang menyempurnakan gol ketiga Perancis pada minit ke-66. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Man Utd peroleh tanah, langkah signifikan untuk rancangan stadium baharu
Next: Messi terus mencipta keajaiban di Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.