Maybank pacu Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Facebook
WhatsApp
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada Selasa, disokong oleh minat belian dalam kaunter wajaran tinggi, yang diterajui Maybank walaupun kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik di Asia Barat kembali tercetus.

Pada 9.14 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.83 mata kepada 1,727.72 daripada 1,725.89 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 1.63 mata kepada 1,727.52.

Maybank menyumbang 13.18 mata kepada kenaikan indeks komposit.

Bagaimanapun keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 216 berbanding 177 manakala 351 kaunter tidak berubah, 2,107 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 257.53 juta saham bernilai RM135.41 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan hari ini memaklumkan, sentimen pasaran kekal berhati-hati ketika pasaran memasuki fasa penting musim pelaporan prestasi kewangan suku tahun ini.

“Sementara itu, kami berpuas hati berikutan sektor perladangan telah menyaksikan beberapa peningkatan penarafan sekali gus menyokong pendirian positif kami sejak dua suku tahun yang lalu.

“Hari ini, kami menjangkakan indeks itu bergerak dalam julat 1,720 hingga 1,735,” menurutnya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.60, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM8.15 manakala Public Bank dan CIMB Group masing-masing susut satu sen kepada RM5.09 dan RM7.86, dan Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM14.44.

Bagi saham paling aktif, JAKS Resources dan Ingenieur Gudang masing-masing menambah setengah sen kepada 14 sen dan empat sen namun Tanco Holdings turun setengah sen kepada 24 sen manakala Luster Industries dan JAG masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 38 sen.

Antara saham paling untung, Fraser & Neave Holdings meningkat 30 sen kepada RM26.64, Kelington menambah 17 sen kepada RM8.71, Kuala Lumpur Kepong mengukuh 14 sen kepada RM21.70, Scicom (MSC) dan Hengyuan Refining masing-masing menambah lapan sen kepada RM2.27 dan RM1.95.

Bagi saham paling rugi, United Plantations susut 22 sen kepada RM32.78, Skyechip menyusut 14 sen kepada RM3.11, Hong Leong Bank rendah enam sen kepada RM22.68, Petron Malaysia Refining & Marketing dan LPI Capital masing-masing berkurangan empat sen kepada RM3.42 dan RM14.88.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 2.85 mata kepada 18,290.70, Indeks FBM Emas Shariah naik 13.57 mata kepada 12,660.07 dan Indeks FBM Emas menokok 9.97 mata kepada 12,819.14.

Indeks FBM Top 100 meningkat 10.47 mata kepada 12,627.65 manakala Indeks FBM ACE menurun 13.44 mata kepada 5,310.41.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 27.39 mata kepada 9,341.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.50 mata kepada 188.47, dan Indeks Tenaga meningkat 4.11 mata kepada 781.73 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.85 mata kepada 20,246.86.- Bernama