Mayat warga emas ditemui di dasar gaung berhampiran Grand Old Lady

Facebook
WhatsApp
MAYAT seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di dasar gaung sedalam kira-kira 30 meter berhampiran kawasan Grand Old Lady.

MIRI: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui di dasar gaung sedalam kira-kira 30 meter berhampiran kawasan Grand Old Lady di sini dan berjaya dinaikkan petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Wong Ted Voon, 70, warga tempatan berbangsa Cina.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, seramai sembilan anggota telah menjalankan operasi bantuan mengangkat mayat seorang lelaki warga emas tersebut.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.06 petang sebelum mengerahkan jentera jenis FRT Scania dan EMRS bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian.

BANTUAN… Anggota bomba menggunakan tali penyelamat dan sebuah pengusung bakul bagi menurunkan anggota ke dasar gaung untuk membawa naik mayat, kejadian itu berhampiran kawasan Grand Old Lady, semalam.

“Pasukan tiba hanya empat minit kemudian dan mendapati terdapat mayat mangsa di bawah gaung.

“Komander operasi kemudian mengarahkan penggunaan tali penyelamat serta sebuah pengusung bakul bagi menurunkan anggota ke dasar gaung untuk membawa naik mayat.

“Operasi berkenaan berjaya diselesaikan dan mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi tamat pada 7.05 malam dengan kekuatan dua jentera, sembilan anggota bomba, serta turut dibantu 10 anggota polis dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Oleh Adum Liu