Mayat remaja hilang di Sungai Seterap ditemukan 30 meter dari lokasi kejadian

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
MAYAT DITEMUKAN… Mayat remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang ketika menyelam untuk melepaskan jala ikan yang tersangkut ditemukan terapung kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian di Sungai Seterap, Pantu, awal pagi tadi. Foto BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Seterap, Pantu berakhir apabila mayat mangsa ditemukan terapung awal pagi tadi.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima maklumat daripada Balai Polis Pantu pada 2.43 pagi bahawa mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa dikenali sebagai Taufik Ezany Abdullah, 15, yang dilaporkan hilang pada Selasa lalu ketika menjalankan aktiviti menjala ikan bersama ahli keluarganya di Sungai Seterap.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pantu menggunakan perahu milik orang awam sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Susulan penemuan itu, Pegawai Kanan Operasi (PKO) bergerak ke Hospital Sri Aman pada 2.44 pagi bagi mengesahkan maklumat berkaitan penemuan mangsa.

Selepas mendapatkan maklumat lengkap, PKO berangkat pulang ke balai pada 3.44 pagi, manakala operasi SAR ditamatkan sepenuhnya oleh pihak PDRM pada 1.30 pagi.

Menurut JBPM, berdasarkan maklumat ibu mangsa, Puteh Bujang, seramai lapan individu termasuk mangsa menaiki empat buah perahu untuk menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berkenaan.

Ketika aktiviti itu berlangsung, jala yang digunakan dipercayai tersangkut pada sebatang kayu di dasar sungai. Mangsa kemudian menyelam untuk melepaskan jala tersebut, namun gagal timbul semula.

Ahli keluarga yang berada di lokasi mengesyaki mangsa diserang buaya selepas terlihat reptilia itu timbul tidak jauh dari lokasi kejadian.

Operasi SAR melibatkan empat anggota BBP Sri Aman bersama sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum ditamatkan selepas mangsa berjaya ditemukan.

Oleh Adi Safarman