LUBOK ANTU: Mayat mangsa seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Sungai Lubok Subong, Nanga Kesit pada 30 Ogos lalu, berjaya ditemukan pagi tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fandi Wong Mohd Awang Wong, 20, berasal dari Jalan Sungai Antu, Sibu itu telah ditemui oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 8.30 pagi.
“Setelah pencarian memasuki hari ketiga, penemuan satu jasad oleh pasukan SAR sekitar jam 8.30 pagi dan seterusnya diangkat masuk ke dalam bot bomba.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak 500 meter ke hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya.
Muhammad Rais berkata sekitar jam 8.46 pagi, bot bomba yang membawa jasad serta bot-bot pasukan SAR telah tiba di pengkalan.
“Jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Pihak polis meminta ahli keluarga membuat pengecaman dan mengesahkan jasad yang dijumpai itu ialah mangsa lemas yang dicari,” katanya.
Dalam pada itu, SAR hari ketiga yang bermula pada 8 pagi dimulakan dengan teknik pencarian menggunakan kaedah pencarian permukaan air ke hilir sungai dengan menggunakan tiga bot dan sebuah perahu panjang.
Muhammad Rais berkata berikutan penemuan itu, SAR yang telah dilancarkan sejak petang 30 Ogos lalu, ditamatkan jam 9.30 pagi tadi.
Terdahulu, keriangan tiga sahabat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas ketika sedang mandi-manda di Sungai Lubok Subong, Nanga Kesit Jumaat lalu.
Hasil maklumat daripada pihak polis memaklumkan, semasa kejadian mangsa bersama dua lagi rakan mandi di sungai berkenaan.
Setelah mereka selesai mandi dan hendak menyeberangi sungai tersebut ke seberang, secara tiba-tiba salah seorang mangsa telah dibawa arus deras sungai sehingga tenggelam di tengah sungai tersebut.
Difahamkan juga oleh rakan mangsa bahawa mangsa tidak pandai berenang.
Oleh ADI SAFARMAN
Gambar
Mayat mangsa dijumpai pada jarak 500 meter ke hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat.