SIBU: Mayat Aaron Wisley Jamut, 23, yang dikhuatiri lemas selepas jatuh dari Jambatan Lanang dijumpai, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung penemuan mayat di Wharf Toung Aik Shipyard Sdn Bhd, Batang Igan, 10.07 malam.
“Setelah membuat penilaian awal didapati mayat lelaki dewasa berada di himpunan kayu di antara kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan tersebut.
“Setelah berbincang dengan pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan operasi pihak APM menggunakan bot untuk mengambil mangsa.
“Setelah operasi berjaya dan urusan penyerahan mayat selesai, maklumat mangsa gagal diperoleh dan belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pada 5.54 pagi tadi, pihak polis memaklumkan mayat yang dijumpai disahkan sebagai mangsa SAR yang hilang dan operasi ditamatkan sepenuhnya.
Terdahulu, pihak bomba menerima laporan berhubung kes itu, 1.00 tengah hari pada Jumaat selepas menerima panggilan daripada Balai Polis Lanang melaporkan seorang lelaki dewasa berusia 23 tahun dikhuatiri hilang.
Berdasarkan maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di atas Jambatan Lanang dipercayai milik mangsa.
Bapa kepada mangsa telah membuat laporan polis menyatakan anaknya telah keluar rumah untuk memeriksa wang gajinya di dalam bank pada Khamis sekitar 8.00 malam.