BAU: Mayat lelaki Cina berumur 62 tahun dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan kubur, Jalan Buso, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, pihak polis menerima aduan orang awam kira-kira jam 1.05 petang berhubung penemuan mayat itu.
Katanya, hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa di tempat kejadian mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan fizikal yang sempurna.
“Wajah mangsa lebam dan terdapat pendarahan keluar dari hidung dan gigi mangsa patah.
“Siasatan di tempat kejadian mendapat jalan tanah berbatu kecil dan agak curam.
“Terdapat kesan tergelincir dan mangsa cedera di lutut dan jatuh tersembam di muka dan patah gigi.
“Mayat telah dihantar ke bilik mayat Hospital Bau untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes dikategorikan sebagai kematian mengejut oleh pihak Balai Polis Bau.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil siasatan awal terhadap isteri mangsa menyatakan mangsa ada memberitahu hendak pergi membersih kubur mendiang emaknya di Kampung Buso pada kira-kira jam 8 pagi semalam.
Setelah mangsa tidak balik, isteri mangsa membawa anaknya untuk mencari di kawasan perkuburan Buso dan menjumpai mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa.