KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merancang untuk menganjurkan Misi Akselerasi Eksport (EAM) bagi mempromosi produk dan perkhidmatan berkaitan pembinaan ke Jakarta dan Ibu Kota Nusantara (IKN) dari 18 hingga 21 Disember depan.
Pengerusi Matrade Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dengan kerjasama daripada Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN), kejayaan misi tersebut dilihat dapat dipastikan.
Beliau berkata syarikat Malaysia memiliki potensi yang besar untuk meningkatkan perdagangan dengan Indonesia menerusi aktiviti pembangunan infrastruktur terutamanya di ibu negara baharu, IKN.
“Saya mahu melihat perdagangan Malaysia-Indonesia terus diperkukuh dan diangkat ke tahap yang lebih baik.
“Saya yakin kerjasama Matrade dan KADIN yang sedia terjalin ini akan memanfaatkan lebih banyak usahawan dan perusahaan dari kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Reezal Merican berkata berdasarkan pengalaman dalam pengendalian pelbagai projek tempatan mahupun antarabangsa, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh syarikat Malaysia dalam industri pembinaan dan kejuruteraan boleh dimanfaatkan bagi kolaborasi bersama pemain industri Indonesia.
Beliau berkata antara projek pembangunan yang berpotensi untuk diterokai bagi kerjasama adalah pembinaan, lebuh raya bertol, perkhidmatan kejuruteraan, stesen janakuasa, telekomunikasi, hospital, perkhidmatan pengangkutan dan logistik serta teknologi maklumat.
Menurut beliau, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Matrade dan KADIN akan dimeterai tidak lama lagi di Kuala Lumpur bagi meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia melalui penerokaan pelbagai bidang baharu khususnya berkaitan digital dan teknologi.
“Ini termasuk pelaksanaan platform digital yang membolehkan akses perdagangan serta validasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas melalui bantuan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Reezal Merican turut mencadangkan penubuhan satu pasukan petugas khas antara MATRADE dan KADIN bagi meneliti kerjasama dalam penggunaan platform digital sedia ada iaitu Matrade Digital Trade Platform untuk mempromosi eksport barangan Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, pasukan tersebut juga akan meneroka kolaborasi secara kolektif kedua-dua agensi menerusi pelbagai platform bagi merangsang akses pasaran yang lebih besar untuk eksport luar daripada ASEAN, katanya. – Bernama