Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu kekal syarat wajib ke IPTA – Zambry
  • PENDIDIKAN

Mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu kekal syarat wajib ke IPTA – Zambry

Utusan Sarawak 9 hours ago
MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2025 hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal menjadi syarat wajib bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk untuk pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ia turut terpakai kepada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri semalam, yang mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) untuk mengikuti program pengajian di IPTA.

“SPM tetap wajib walaupun dia (pelajar) belajar aliran itu. Sebab penilaian UPU (sistem UPUOnline) kita ialah berdasarkan kepada keputusan SPM.

“Maknanya dia menduduki dua peperiksaan termasuk lulus mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu yang diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di sini hari ini.

Terdahulu, Zambry semasa berucap menegaskan syarat kemasukan ke IPTA tetap perlu berdasarkan sistem SPM walaupun kerajaan membuka ruang laluan tertentu kepada pelajar daripada sistem pendidikan lain.

“Asasnya mesti sama. Sebagai contoh, dari aliran mana sekalipun untuk masuk ke IPTA mesti berdasarkan sistem SPM kita,” katanya.

Zambry berkata keputusan kerajaan itu bagaimanapun dimanipulasi sesetengah pihak seolah-olah kerajaan mengorbankan sistem pendidikan negara.

Semalam, kerajaan mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC ke IPTA.

Calon daripada aliran itu yang turut memiliki SPM penuh boleh memohon mana-mana program pengajian ditawarkan melalui sistem UPUOnline.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kerajaan sedang berusaha meletakkan institusi politeknik dan kolej komuniti ke suatu tahap baharu selaras dengan perubahan semasa serta keperluan pembangunan negara.

“Kita tidak boleh lagi melihat politeknik hanya sebagai institusi sokongan atau second feeders institution. Dunia berubah dan kita tahu akan ketinggalan jika kita tidak berubah,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Cabaran bertugas di pedalaman, bentuk pendidikan berjiwa lebih kental
Next: Laluan kemasukan IPTA: Kerajaan tidak korbankan sistem pendidikan negara – Zambry

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.