Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Cabaran bertugas di pedalaman, bentuk pendidikan berjiwa lebih kental
  • PENDIDIKAN

Cabaran bertugas di pedalaman, bentuk pendidikan berjiwa lebih kental

Utusan Sarawak 8 hours ago

Artikel ini bersempena dengan sambutan Hari Guru yang dirai pada 16 Mei. Sambutan tahun ini bertemakan “Guru Bitara Nadi Negara”.

KUALA LUMPUR: Lima tahun menabur bakti mendidik anak-anak di Seduku, Lingga, satu daerah terpencil di Sri Aman, Sarawak menjadi pengalaman berharga buat Nur ‘Afrina Ariff, anak jati Kuala Nerang, Kedah yang sebelum itu tidak tahu erti hidup tanpa teknologi dan Internet.

Tergolong dalam kelompok generasi Z, iaitu mereka yang lahir dan membesar dalam era ledakan teknologi maklumat, Nur ‘Afrina, 29, mengaku di peringkat awal beliau sukar mengadaptasi dengan keadaan serba kekurangan di kawasan itu.

“Semasa mula-mula tahu saya ditempatkan di kawasan jauh terpencil di Sarawak, saya menangis hampir setiap hari. Bukan sahaja kerana tempat itu jauh, tetapi juga bermakna saya perlu berjauhan dari keluarga untuk beberapa tahun lagi.

“Saya telah habiskan lima tahun mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Kuching dan berharap sangat dapat pulang mengajar di Semenanjung. Namun, apakan daya,” kongsinya dengan Bernama.

Bagaimanapun kata anak sulung daripada lima beradik itu, beliau mula reda selepas mendengar nasihat ibu bapanya yang juga guru.

   “Abah dan umi banyak memberikan inspirasi dan akhirnya saya sedar tujuan utama saya jadi cikgu. Segala yang sudah dipupuk selama lima tahun di IPG serta kesungguhan yang saya lihat pada insan sekeliling membuatkan saya bersemangat untuk ‘terbang’ (ke Lingga) dan mendidik anak-anak murid yang ditakdirkan bertemu saya,” katanya yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Dunstan (M), Seduku.

BANGUN SEAWAL 4.30 PAGI

 Mengimbau kisah lima tahun di sana, Nur ‘Afrina yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Perik, Kuala Nerang sejak Januari lalu, berkata antara pengalaman yang sukar dilupakan ialah perlu bangun seawal 4.30 pagi setiap hari bagi memastikannya dapat keluar rumah pada 5.40 pagi.

“Dari rumah saya ke sekolah ialah 45 kilometer. Kalau diikutkan tidak begitu jauh, tetapi perjalanan ke sekolah ada cabaran tersendiri termasuk perlu melalui kawasan yang terjejas air pasang sebab berdekatan dengan muara sungai.

“Kalau kebetulan berlaku air pasang, saya perlu menunggu air surut untuk melalui jalan itu dan ada masanya sampai 50 minit,” katanya yang memandu ke sekolah.

Menurut lepasan Sarjana Muda Perguruan dalam bidang Pendidikan Islam ini lagi,  di awal kedatangannya ke sekolah tersebut yang hanya mempunyai 26 murid pada waktu itu, beliau tidak berasa begitu keseorangan kerana ada seorang lagi anak Semenanjung mengajar di sekolah tersebut.

“Tetapi tidak lama, kerana tidak lama kemudian guru wanita itu dapat kembali ke Semenanjung. Selepas itu, saya satu-satunya orang Semenanjung sehinggalah sebelum saya berpindah balik ke Kedah, apabila kami menerima dua lagi guru baharu dari Semenanjung,” jelasnya. 

Akur kawasan pedalaman serba kekurangan, Nur ‘Afrina berkata antara yang paling merisaukannya ialah jika berlaku kecemasan pada keluarga di kampung kerana perjalanan dari tempat itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengambil masa hampir tiga jam.

“Kalau setakat alami gangguan elektrik, air, Internet terputus dan lain-lain, itu dianggap perkara biasa di sana,” ujarnya.   

CABARAN TEKNOLOGI

Beliau yang mengajar subjek Pendidikan Islam, Sains DLP (dual language programme), Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Moral serta Pendidikan Seni Visual, berkata sekalipun kawasan itu mempunyai liputan Internet tidak stabil, anak muridnya cekap menguasai teknologi maklumat.

“Walaupun kerap mengalami gangguan elektrik dengan liputan Internet tidak stabil, anak murid saya mahir guna segala pelantar di aplikasi DELIMA.

“Memang di awalnya agak sukar, tetapi disebabkan bilangan murid tidak ramai, jadi peranti komputer yang disediakan mencukupi untuk semua. Oleh itu, semua murid dapat dilatih serentak menggunakan aplikasi seperti  Classroom, Canva, Quizziz, Kahoot dan Live Worksheet.

“Alhamdulillah, pemahaman murid akan teknologi sangat memberangsangkan. Paling menggembirakan apabila mereka menyertai pertandingan kad digital sesi 2025, menyaksikan pelajar mereka bentuk dan mengatur sendiri kad digital,” katanya, menambah sokongan ibu bapa turut memainkan peranan dalam hal itu. 

DELIMA merupakan pelantar pembelajaran dalam talian yang menawarkan perkhidmatan sistem pengurusan pembelajaran serta bahan-bahan rujukan pembelajaran untuk kegunaan murid dan guru. Platform ini boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja menggunakan peranti yang dilengkapi capaian Internet. 

Paling menyentuh hati Nur ‘Afrina ialah anak didiknya mempunyai semangat dan dedikasi yang tinggi selain tidak melepaskan peluang memasuki segala pertandingan.  

“Saya pernah bawa murid memasuki pertandingan dron yang pada masa itu hanya disertai oleh beberapa sekolah di bandar sahaja. Menjadi satu kebanggaan apabila sekolah kecil dapat bersama-sama sekolah di bandar menyertai pelbagai pertandingan.

“Yang membanggakan saya ialah murid-murid ini semua bijak berkomunikasi, pandai dalam pelajaran, mampu menyelesaikan masalah, kreatif dan berani mencuba. Bahkan mereka semakin mahir menggunakan teknologi maklumat selaras dengan pendidikan digital sekarang,” katanya.

NASIHAT KEPADA RAKAN SEGENERASI

Menganggap penempatan jauh buat seorang pendidik satu cabaran yang perlu diterima dengan hati terbuka, Nur ‘Afrina berkata sewajarnya warga pendidik, terutama yang baru menamatkan pengajian di IPG, memanfaatkan peluang itu untuk memperkaya pengalaman hidup yang seterusnya dapat membantu mereka menjadi guru yang lebih baik.

“Sebagai guru, saya percaya tanggungjawab untuk mendidik murid lebih utama dan saya bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan. Saya optimis dan pengalaman penempatan jauh dapat membantu saya menjadi seorang guru yang lebih berdikari, sabar serta komited dalam menjalankan amanah. 

“Diri saya hari ini turut dibentuk oleh pengalaman mengajar di pedalaman. Hidup jauh di kawasan terpencil benar-benar mengajar saya erti hidup dan tanggungjawab sebagai pendidik,” kongsinya.

Tambah beliau, warga pendidik daripada kelompk gen Z khususnya, mempunyai kelebihan dari segi penguasaan teknologi digital yang seharusnya dimanfaatkan bagi mendidik anak-anak yang lahir ketika teknologi sudah pesat berkembang.

“Generasi sekarang membesar dengan teknologi dan pendedahan yang sangat luas, jadi pendekatan guru juga perlu lebih fleksibel dan kreatif. Guru perlu memahami emosi, minat dan cara pembelajaran murid supaya mereka rasa dihargai dan seronok untuk belajar. 

“Bagi saya, cabaran ini (penempatan jauh di pedalaman) bukan alasan untuk mengalah tetapi peluang buat guru untuk terus belajar dan menyesuaikan diri demi memastikan pendidikan sentiasa relevan dengan generasi masa kini, ” katanya.

TERKEJUT

Tidak seperti Nur ‘Afrina yang sedari awal menceburi bidang pendidikan, Valentine Doimis bergelar guru ketika usia sudah di hujung 30-an.

Sebelum ke dunia pendidikan, lelaki berusia 38 tahun ini bekerja sebagai juruteknik di Percetakan Nasional Malaysia Berhad Kota Kinabalu, Sabah, sebaik tamat pengajian pada 2014.

Berkelulusan Sarjana Muda dalam Teknologi Seni Visual daripada Universiti Malaysia Sabah, Valentine bagaimanapun berasa tidak puas dengan kariernya. Lebih-lebih lagi minat sebenar beliau ialah terhadap kerjaya guru.  

Justeru, beliau menyambung pendidikan peringkat diploma pendidikan pascasiswazah di IPG Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak dalam jurusan seni visual dari Oktober 2024 hingga Oktober 2025.

“Saya secara rasmi bergelar guru pada 2024 apabila mengajar secara kontrak. Pada waktu yang sama saya sambung belajar di IPG bagi diserapkan ke jawatan tetap. Tamat pengajian, saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lusong Laku, Belaga, Sarawak hingga sekarang,” kongsinya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang ketika itu baru mendirikan rumah tangga, akur dengan penempatan tersebut meskipun terpaksa tinggal berjauhan dengan isteri yang menetap di Kota Kinabalu.

Mengimbas kali pertama menjejakkan kaki di Belaga, Valentine yang berasal dari Kampung Kolubaan Kiulu, Tuaran, Sabah, mengaku terkejut dengan cabaran yang dihadapinya untuk sampai di daerah pedalaman Sarawak itu.

 “Sebenarnya saya kurang percaya kata-kata orang mengenai keadaan jalan untuk ke sini (Lusong Laku) sangat mencabar, kerana di tempat asal saya juga masih menggunakan jalan  tidak berturap dan berbukit-bukau. Setelah saya sendiri menempuh perjalanan untuk ke sini, terperanjat saya… kerana situasi sebenar jauh berbeza daripada apa yang saya bayangkan,” kongsinya.

Menurutnya, beliau meredah perjalanan darat selama 10 jam dari Bintulu termasuk melalui jalan balak sebelum tiba di kawasan tersebut.

Valentine yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni visual, Pendidikan Moral dan Reka Bentuk Teknologi, berkata antara cabaran utama dalam pembelajaran ialah capaian Internet yang tidak stabil.

KECEKALAN MURID

Setelah hampir dua tahun berkhidmat jauh daripada keluarga tersayang, Valentine berkata pengalaman dilalui turut mengubah pandangannya terhadap kerjaya keguruan.

“Pengalaman di pedalaman membuatkan saya lebih menghargai profesion keguruan. Saya sedar bahawa seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga menjadi pembimbing, pendengar dan sumber inspirasi murid.

“Perkara paling memberi kesan kepada saya ialah semangat murid-murid yang tetap hadir di sekolah walaupun berdepan pelbagai kekangan, contohnya jarak dari rumah ke sekolah bagi murid yang berasal dari kampung lain. Bayangkan murid yang baru berumur tujuh tahun terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan tinggal di asrama,” katanya.

Selain itu, Valentine berkata antara momen menyentuh hati saat bergelar pendidik di kawasan terpencil adalah apabila melihat murid yang pada awalnya kurang menonjol dalam pembelajaran akhirnya semakin berani tampil ke depan dan menunjukkan peningkatan dalam pelajaran.

“Situasi seperti ini memberi kepuasan yang sukar digambarkan kepada seorang guru,” katanya, menambah semangat untuk terus mendidik semakin mekar tatkala melihat kecekalan murid, perkembangan mereka dalam pembelajaran dan kejayaan yang dicipta walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan.

Menzahirkan harapan terhadap masa depan pendidikan negara, Valentine mahu semua anak-anak di Malaysia tanpa mengira lokasi mempunyai peluang pendidikan yang sama dan berkualiti.

“Saya juga berharap pendidikan di kawasan pedalaman terus diberi perhatian dari segi infrastruktur, teknologi dan pembangunan modal insan,” katanya menitipkan nasihat buat individu yang berhasrat memasuki bidang pendidikan agar menerapkan hati yang ikhlas.

“Profesion keguruan bukan sekadar pekerjaan tetapi satu amanah besar untuk membentuk generasi masa depan dan negara. Setiap pekerjaan memang ada cabaran masing-masing tetapi bagi guru, kepuasan melihat anak didik berjaya adalah sesuatu yang sangat bermakna,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kerajaan setuju ketetapan kemasukan lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA
Next: Mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu kekal syarat wajib ke IPTA – Zambry

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.