Masyarakat Lubok Antu didedah langkah tangani jenayah, penipuan

Facebook
WhatsApp
BALAI Polis Lubok Antu terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan Program ‘Talk To Us’ di Pekan Lubok Antu, semalam. Foto: IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Balai Polis Lubok Antu terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan Program ‘Talk To Us’ di Pekan Lubok Antu, dekat sini semalam.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, program berkenaan disertai empat pegawai dan anggota Balai Polis Lubok Antu sebagai usaha mendekati masyarakat serta membuka ruang komunikasi secara lebih berkesan berkaitan aspek keselamatan.

Program tersebut menyediakan platform kepada masyarakat untuk menyampaikan aduan, permasalahan dan maklumat berkaitan keselamatan serta kejadian jenayah yang berlaku di kawasan setempat.

Dalam program itu, masyarakat turut diberikan penerangan mengenai peranan National Scam Response Centre (NSRC) serta talian 997 sebagai saluran penting untuk mendapatkan bantuan berkaitan kes penipuan.

Selain itu, penerangan turut meliputi penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta langkah-langkah pencegahan terhadap pelbagai jenis jenayah termasuk jenayah komersil, seksual, narkotik, kecurian, seluk saku dan penipuan secara bersemuka.

Pendekatan berkenaan dilihat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih peka terhadap taktik penjenayah, selain mengetahui saluran yang tepat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Masyarakat setempat, khususnya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk sekitar, menyambut baik pelaksanaan Program ‘Talk To Us’ yang dilihat memberi peluang kepada mereka menyuarakan isu dan permasalahan berkaitan keselamatan secara terus kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, masyarakat turut mencadangkan agar program seumpama itu diteruskan di kawasan lain dalam Daerah Lubok Antu dan Engkilili bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Program ‘Talk To Us’ sekali gus memperlihatkan komitmen pihak polis untuk terus mendekati komuniti serta memperkukuh kerjasama dua hala dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman jenayah.

Oleh Adi Safarman