PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam proses menyusun jadual untuk pemain skuad Sarawak United FC (SU FC) menjalani ujian swab.
Presiden FAS, Dato Posa Majais berkata, pihaknya masih mencari tarikh yang sesuai bagi tujuan tersebut dan belum dapat memberi gambaran berhubung perkara itu.
“Ketika ini kami masih menunggu terdapat kalangan pemain yang masih berada di ibu negara dan belum dapat kembali ke Kuching kerana beberapa masalah,” ujar beliau ketika mengulas perkara itu.
Beliau turut menyatakan permasalahan utama dihadapi pemain ketika ini ialah tiket kapal terbang yang agak mahal berbanding biasa.
Apa pun tambah Dato Posa, para pemain luar Sarawak dijangka tiba di Kuching dalam sehari dua ini dan diharap ujian swab berkenaan dapat dilaksana minggu depan.
Dalam pada itu, beliau berharap agar ujian dijalankan kepada pemain itu kelak berjalan lancar sekali gus dapat memberi kelegaan untuk pasukan SU FC diberi kebenaran menyambung semula latihan.
“Rasanya tiada masalah untuk pemain melepasi ujian itu nanti bagi membolehkan kami diberi kebenaran menyambung semula latihan seperti biasa,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Pengurus SU FC Afiq Fikri Brahim memberitahu, latihan pemain akan disambung pertengahan minggu depan.
“Sebagai mana diketahui, latihan akan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Pasukan yang masih terlibat dalam kancah Liga Malaysia terutamanya Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 diwajibkan pemain, jurulatih serta pegawai menjalani ujian swab sebagai mana diarahkan oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Di samping itu, beberapa syarat lain perlu dilepasi sebelum dibenar menyambung sesi latihan fasa pertama nanti.
Oleh Faizal Bujang